PETALING JAYA: Harga minyak dijangka sukar kembali ke paras sebelum konflik Amerika Syarikat (AS) dan Iran menjelang akhir tahun ini, walaupun Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent mengunjurkan ia turun menjelang tempoh tersebut.
Sehingga lewat petang semalam, harga minyak mentah Brent susut 0.57 peratus kepada AS$107.5 (RM425) setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) jatuh 0.7 peratus kepada AS$101.2 (RM400) setong.
Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, penurunan harga minyak mentah akan dipengaruhi oleh dua faktor iaitu bila konflik antara AS dan Iran tamat serta fasiliti yang terjejas di Negara Teluk dibaik pulih dan beroperasi sepenuhnya.
“Kebanyakan fasiliti yang musnah mengambil masa antara enam bulan hingga lebih setahun untuk baik pulih dan beroperasi sepenuhnya. Oleh itu, harga minyak tidak mungkin turun serta merta ke paras sebelum konflik walaupun konflik ini tamat kelak.
“Saya jangkakan harga akan berada sekitar AS$90 (RM356) hingga AS$100 (RM395) setong menjelang akhir tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bessent dalam program Sunday Morning Futures di Fox Business Network berkata, harga tenaga yang kini meningkat susulan konflik AS-Israel dengan Iran dijangka menurun pada akhir tahun ini.
Kenyataan itu dibuat walaupun Presiden AS, Donald Trump masih belum meneliti secara terperinci kandungan cadangan damai baharu Iran.
Trump turut menyatakan bahawa beliau berkemungkinan tidak akan menerimanya kerana Iran belum ‘membayar harga yang cukup besar’ atas tindakannya sebelum ini.
Ketika ditanya berapa ekonomi mampu menyerap harga minyak mentah yang tinggi ini, Ahmed Razman berkata, perkara tersebut bergantung kepada kemampuan kerajaan yang mungkin memerlukan strategi baharu bagi menampan peningkatan harga.
“Jika mahu bertahan sehingga akhir tahun ini, strategi sedia ada mungkin agak sukar. Kalau berlaku perubahan, ia melibatkan struktur subsidi dan belanjawan yang boleh menyerap peningkatan harga.
“Oleh itu, mungkin akan ada subsidi yang lebih bersasar. Contohnya, BUDI95 kini adalah untuk semua rakyat Malaysia. Mungkin pemberian subsidi ini akan diberi kepada golongan yang betul-betul memerlukan sahaja,” ujarnya.
Sementara itu, Pakar Ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, unjuran Bessent tidak mustahil, tetapi bersyarat dan berisiko tinggi.
Katanya, secara sejarah, harga minyak lazimnya meningkat atas faktor risiko premium geopolitik dan bukan semata mata gangguan fizikal bekalan.
“Apabila konflik mereda atau kebarangkalian konflik memuncak semakin menurun, premium ini sering menyusut dengan cepat, sekali gus menyebabkan harga jatuh walaupun bekalan sebenar tidak berubah.
“Namun, konteks Asia Barat hari ini menjadikan unjuran itu kurang linear berbanding konflik terdahulu kerana Iran secara praktikal sudah berada di bawah sekatan dan laluan penting seperti Selat Hormuz masih terdedah kepada risiko.
“Penurunan harga adalah realistik jika konflik kekal terhad dan tidak merebak, tetapi jangkaan jauh lebih rendah mungkin terlalu optimistik dalam persekitaran geopolitik yang masih mempunyai pelbagai risiko,” jelasnya. – UTUSAN










