F&N sasar 90% penguasaan pasaran susu segar

F&N sasar 90% penguasaan pasaran susu segar

LIM Yew Hoe (tengah), Ketua Pegawai Kewangan F&NHB, Tiong Yean Yau (kiri) dan Pengarah Urusan Pertanian & Ladang Tenusu F&NHB, Dr. Yap Peng Kang semasa lawatan media ke ladang F&N AgriValley di Gemas sempena taklimat keputusan kewangan separuh pertama 2026 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEMAS: Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) sedang memperluas rangkaian edaran susu segar UHT Magnolia ke seluruh negara dengan sasaran 90 peratus liputan pasaran merangkumi sektor perdagangan moden dan tradisional menjelang Julai ini.

Langkah agresif ini merupakan sebahagian daripada pelan pengembangan syarikat selepas memulakan fasa perluasan edaran pada Mac dan April lalu, selain perancangan melancarkan semula rangkaian produk susu pasteria pada Jun dan Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe berkata, penguasaan pasaran bagi perdagangan moden kini sudah pun melepasi tahap 95 peratus dan fokus utama kini beralih kepada memperkukuh kedudukan dalam perdagangan am atau kedai runcit tradisional.  

“Kami sedang mengusahakan pelan pengembangan edaran secara menyeluruh. Dalam tempoh dua ke tiga bulan lagi, kami menyasarkan sekurang-kurangnya 90 peratus pengedaran di peringkat nasional bagi susu segar UHT, sama ada di pasar raya moden mahupun kedai tradisional,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa taklimat keputusan kewangan selepas lawatan media ke ladang F&N Agrivalley di sini hari ini.

Baru-baru ini, F&N merekodkan hasil sebanyak RM2.54 bilion bagi separuh pertama berakhir 31 Mac 2026, susut 6.9 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.  

Mengulas mengenai prestasi kewangan, syarikat berkata, tonggak perniagaan baharu seperti pasaran Kemboja dan projek AgriValley pada masa ini memberikan sedikit kesan terhadap keuntungan operasi keseluruhan kumpulan.

Bagaimanapun, situasi ini bersifat sementara berikutan pelarasan jangka pendek dalam komposisi untung rugi serta hasil bagi tempoh beberapa tahun pertama. 

“Komposisi ini dijangka berubah secara positif tahun hadapan sebaik sahaja operasi di Kemboja bermula dalam tempoh satu hingga dua suku akan datang,” katanya. 

Dalam pada itu, F&N turut memberikan jaminan mengenai pengurusan kos operasi di ladang, terutamanya membabitkan kenaikan harga baja dan komoditi pertanian. 

“Melalui penggunaan sistem biodigester di AgriValley, sisa biologi daripada seekor lembu mampu ditukar kepada baja yang setara dengan satu tan baja sintetik.

“Satu ekor lembu bersamaan dengan satu tan baja sintetik. Apabila jumlah ternakan bertambah, kita akan kurang terdedah kepada turun naik kos baja global. Setakat ini, kita sudah mempunyai 8,000 ekor ternakan meskipun kebanyakannya masih di peringkat anak,” katanya.

Mengenai kemungkinan kenaikan harga produk Magnolia Fresh Milk, syarikat berkata, tindakan itu sebagai langkah terakhir. 

Buat masa ini, F&N lebih fokus kepada pengurusan keuntungan bagi setiap unit simpanan stok (SKU) serta mengurangkan pemberian diskaun bagi mengimbangi tekanan kos yang dijangka mencecah hampir 10 peratus daripada kos produk.

F&N turut menyatakan keyakinan terhadap pengurusan ternakan di ladang tersebut melalui pemantauan rapi terhadap kadar kematian dan konsep pengurusan stres haba yang kini menunjukkan prestasi parameter yang semakin baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×