Iran beri tempoh sebulan kepada AS - Utusan Malaysia

Iran beri tempoh sebulan kepada AS

IRAN masih mengawal Selat Hormuz sejak perang meletus antara negaranya dengan AS-Israel. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN/WASHINGTON: Iran menetapkan tempoh sebulan supaya perjanjian membuka semula Selat Hormuz dipersetujui dengan Amerika Syarikat (AS).

Teheran juga memberikan tempoh itu untuk sekatan laut oleh AS ditamatkan dengan menjadikan gencatan senjata yang bermula pada 8 April lalu dan diumumkan Presiden Amerika, Donald Trump terus dikekalan.

Pendedahan itu berlaku ketika Trump memberi bayangan keraguan terhadap pelan itu sambil mengekalkan pilihan tindakan ketenteraan ke atas Iran.

Teheran mengemukakan pelan baharu 14 perkara kepada Washington pada Khamis yang menggariskan jadual ketat bagi menyelesaikan isu utama berkaitan akses maritim, sekatan laut dan konflik lebih luas melibatkan Iran dan Lubnan, menurut media Iran.

FASA AWAL

Sumber yang mengetahui kandungan dokumen itu memberitahu Axios dan disiarkan kelmarin bahawa fasa awal memberi tumpuan kepada usaha mencapai perjanjian rangka kerja dalam tempoh sebulan.

Hanya selepas langkah pertama itu selesai, fasa kedua akan bermula. Ia bermula  dengan satu lagi tempoh rundingan selama sebulan yang tertumpu kepada program nuklear Iran, menurut laporan itu, yang sebelum ini ditolak oleh Amerika.

Trump sebelum ini dilihat berhati-hati ketika mempertimbangkan cadangan itu pada Sabtu, menurut laporan berkenaan.

Ketika bercakap kepada wartawan sebelum berlepas dari Palm Beach, katanya, beliau akan meneliti butiran cadangan tersebut semasa dalam penerbangan.

“Saya sedang menelitinya. Saya akan maklumkan mengenainya kemudian,” kata Trump dan  menambah bahawa beliau telah diberi taklimat mengenai konsep itu dan menjangka akan menerima teks penuh tidak lama lagi.

Walaupun sehari sebelumnya mengisytiharkan kepada Kongres AS bahawa permusuhan dengan Iran telah berakhir, Trump mempertahankan sekatan laut yang sedang berkuat kuasa, menyifatkannya sebagai langkah sangat mesra yang tidak dicabar.

PERANG

Pada masa yang sama, presiden AS itu tidak menolak kemungkinan tindakan ketenteraan baharu jika ketegangan meningkat.

“Jika mereka (Iran) berkelakuan buruk, jika mereka melakukan sesuatu yang buruk tetapi buat masa ini, kita lihat dahulu. Ia sememangnya satu kemungkinan yang boleh berlaku,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan serangan baharu.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social miliknya, beliau turut meragui kebolehlaksanaan pelan itu.

Trump menulis bahawa beliau tidak dapat bayangkan ia boleh diterima dan mendakwa Iran belum membayar harga yang cukup besar atas tindakannya selama beberapa dekad.

Rundingan antara Teheran dan Washington masih terhenti sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April, selepas rundingan di Pakistan gagal mencapai sebarang kejayaan.

Sejak perang bermula pada 28 Februari lalu, Iran telah memperketat kawalan di Selat Hormuz.

Ia mengganggu aliran penting minyak, gas dan baja, manakala AS  bertindak dengan mengenakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran bagi mengehadkan sumber ekonomi Teheran selepas rundingan awal gagal, sehingga memburukkan lagi keadaan.

KONFLIK BAHARU

Pada Sabtu, Mohammad Jafar Asadi, tokoh kanan dalam markas pusat tentera Iran berkata, konflik baharu antara Iran dan AS berkemungkinan berlaku.

“Bukti menunjukkan bahawa Amerika tidak komited terhadap sebarang janji atau perjanjian,” tambahnya menurut Fars.

Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, memberitahu diplomat di Teheran bahawa bola kini berada di gelanggang AS untuk memilih jalan diplomasi atau meneruskan pendekatan konfrontasi.

Katanya, Iran bersedia untuk kedua-dua pilihan.

Laman berita Axios sebelum ini melaporkan bahawa utusan Trump, Steve Witkoff meminta supaya program nuklear Iran dibincang semula di meja rundingan.

Misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula merujuk kepada senjata nuklear besar-besaran milik AS sambil menuduh Washington pada Sabtu bersikap hipokrit terhadap cita-cita atom Iran.

Tiada sekatan undang-undang terhadap tahap pengayaan uranium selagi ia dijalankan di bawah pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa  (IAEA), seperti yang dilakukan Iran, katanya.

Iran terus mengawal ketat Selat Hormuz sejak perang bermula dan menyekat aliran utama minyak, gas serta baja kepada ekonomi dunia, manakala AS mengenakan sekatan balas terhadap pelabuhan Iran.

Harga minyak kini sekitar 50 peratus lebih tinggi berbanding paras sebelum perang. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×