PETALING JAYA: Penularan malaria monyet di Sabah dilihat sebagai ancaman serius kepada kesihatan manusia kerana berpotensi membawa maut, khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan warga emas.
Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, penyakit zoonotik itu berpunca daripada parasit Plasmodium knowlesi yang asalnya menjangkiti monyet sebelum disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Anopheles.
“Jangkitan boleh berlaku apabila nyamuk yang dijangkiti menggigit manusia, sekali gus membolehkan parasit memasuki aliran darah dan menjejaskan organ penting.
“Penyakit ini berbahaya dan boleh membawa maut jika tidak dikesan serta dirawat segera, terutama bagi golongan berisiko tinggi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Tambahnya, individu yang tinggal atau bekerja berhampiran kawasan hutan seperti petani, pekerja ladang dan pelancong antara yang paling terdedah kepada jangkitan.
“Antara gejala awal termasuk demam tinggi, menggigil, sakit kepala, loya dan keletihan, manakala kes serius boleh menyebabkan kegagalan organ,” katanya.
Katanya, orang ramai perlu mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami simptom, selain mengambil langkah pencegahan seperti menggunakan penghalau nyamuk dan memakai pakaian sesuai di kawasan berisiko.
“Langkah awal dan kesedaran tinggi amat penting bagi mengelakkan penularan penyakit ini daripada terus mengancam nyawa,” katanya. – UTUSAN








