Mecinda perkukuh legasi 44 tahun aksesori motosikal

Mecinda perkukuh legasi 44 tahun aksesori motosikal

MOHD Bakri Che Din (kiri) ketika ditemui di premis Mecinda Racing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN beralih arah daripada perkhidmatan membaiki motosikal kepada jualan aksesori pada awal tahun 80-an bukan sahaja menyelamatkan perniagaan keluarga Mohd Bakri Che Din, malah menjadi asas kepada penubuhan empayar Mecinda Racing yang kini menjadi jenama ikonik di ibu kota.

Anak kelahiran Pulau Pinang yang lebih mesra disapa Pak Su itu memulakan langkah dalam dunia permotoran sekitar tahun 1978 dengan membantu arwah abangnya mengusahakan bengkel motosikal di Seksyen 2, Shah Alam.

Beroperasi berhampiran kampus universiti, bengkel mereka sering menjadi tumpuan pelajar untuk membaiki motosikal jenis ‘kapcai’, namun cabaran dalam menguruskan tenaga kerja mula memberi tekanan kepada kelangsungan operasi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Dulu kami buat bengkel, tetapi masalah pekerja memang mencabar. Akhirnya abang saya membuat keputusan untuk berhenti membaiki dan fokus kepada jualan barang motosikal sahaja.

“Masa itu saya tertanya-tanya, ma­na ada orang jual barang motor di da­lam kompleks beli-belah? Tetapi kami cuba juga dan bermula di Pertama Kompleks pada tahun 1982,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pencapaian Mecinda Racing sepanjang empat dekad ini juga tidak lari daripada sokongan berterusan UDA Holdings Berhad (UDA) melalui penyediaan ruang niaga di Pertama Kompleks. 

Sokongan ini membolehkan usahawan bukan sahaja bertahan dalam pasaran yang mencabar, malah membina legasi perniagaan yang mampu diwarisi oleh generasi seterusnya.

Inspirasi untuk menjadi perintis kedai aksesori dalam kompleks komersial terbukti tepat apabila Mecinda Racing kini berkembang daripada satu lot kecil kepada enam lot premis yang merangkumi ruang jualan dan stor di lokasi sama.

Menurutnya, pada peringkat awal, barangan yang dijual tidaklah semahal sekarang, sebaliknya lebih tertumpu kepada pelekat dan topi keledar  bajet yang mampu milik.

“Dulu helmet harga RM30 atau RM40 sudah dikira mahal. Sekarang, kita ada pelbagai kategori dan jenama antarabangsa yang mencecah harga ribuan ringgit.

“Perniagaan ini berkembang secara organik melalui saranan pelanggan dari mulut ke mulut. Kami membina kepercayaan dengan memberikan khidmat nasihat berdasarkan pengalaman lebih 40 tahun dalam dunia motor,” ujarnya.

Mengulas mengenai cabaran, Mohd Bakri berkata, persaingan dalam dunia digital dan media sosial memang wujud, namun perniagaan fizikal mempunyai kelebihan yang tidak boleh ditukar ganti iaitu sentuhan peribadi.

Beliau berkata, barangan seperti topi keledar dan jeket perlu dicuba sendiri oleh pelanggan bagi memastikan keselesaan, saiz yang tepat serta faktor keselamatan.

“Sebab itu pelanggan tetap datang ke kedai. Mereka mahu rasa sendiri kualiti barang. Saya juga pastikan stok sentiasa dikemas kini dengan melawat pameran motor antarabangsa di Itali dan Jepun hampir setiap tahun.

“Kita kena tahu trend global, apa jenama yang sedang meningkat naik dan apa keperluan penunggang moden untuk dibawa masuk ke pasaran tempatan,” katanya.

Dalam memperkukuh legasi, Mohd Bakri yang kini berusia 66 tahun mula menyerahkan tanggungjawab operasi kepada generasi kedua dan ketiga yang terdiri daripada anak-anak buah dan cucunya.

Beliau melihat penglibatan generasi muda sebagai elemen penting bagi memastikan Mecinda Racing kekal relevan untuk tempoh 40 tahun akan datang.

“Perniagaan ini adalah legasi keluarga. Saya harap mereka dapat menyambung usaha ini dengan semangat yang sama.

“Bagi saya, perniagaan ini bukan sekadar mengejar keuntungan, tetapi mengenai minat dan kegembiraan melihat komuniti penunggang motosikal mendapat barangan yang berkualiti dan selamat,” katanya.

Seiring dengan peredaran zaman, Mecinda Racing kini bukan sahaja menjadi tumpuan peminat motor tempatan, malah turut menarik minat ekspatriat dan pelancong luar negara yang mencari aksesori eksklusif di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini