KUALA LUMPUR: UMNO memberi fokus lima perkara dalam tempoh dua dekad akan datang menjelang ulang tahun ke-100 parti itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, lima fokus utama itu adalah memperkasa dakwah bagi memelihara akidah, menjadi tunjang kestabilan politik negara, melahirkan tenaga pakar dan intelektual, menyatukan pemikiran kepimpinan Melayu serta menyuburkan budaya ilmu.
Beliau berkata, fokus terakhir adalah untuk melahirkan bangsa Melayu yang bijaksana, mampu mengurus negara, menguasai ekonomi serta menjadi tunjang kepada sebuah negara majmuk yang harmoni.
“Saya berharap untuk melihat lahirnya generasi Melayu yang tidak luntur nilai keIslaman, mempunyai jati diri yang kuat, berakhlak mulia serta mampu menjadi pencipta idea dan pemangkin kemajuan negara.
“Generasi Melayu yang kita dambakan ialah yang berakar pada iman, berakal dalam tindakan, berdaya dalam ciptaan, berjiwa besar dalam perjuangan dan bersatu dalam kepimpinan,” katanya berucap pada penggulungan Konvensyen 80 Tahun UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, UMNO perlu memandang ke hadapan dengan asas yang kukuh, bukan sekadar memenangi pilihan raya, sebaliknya membina kekuatan jangka panjang berlandaskan pengajaran sejarah dan persiapan rapi untuk generasi akan datang.
“Perjuangan UMNO tidak hanya diukur melalui kekuatan institusi tetapi juga melalui kualiti insan yang dilahirkan bagi membina agama, bangsa dan negara.
“Penekanan perlu diberikan kepada pembinaan generasi Melayu berkualiti, berteraskan agama, ilmu dan kepimpinan,” katanya. – UTUSAN











