Ekonomi Singapura dijangka perlahan akibat krisis Asia Barat

Ekonomi Singapura dijangka perlahan akibat krisis Asia Barat

LAWRENCE WONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, memberi amaran pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan tahun ini dan beberapa negara mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan apabila krisis Asia Barat terus menyebabkan Selat Hormuz ditutup.

Dalam ucapannya sempena Hari Mei, Wong berkata, perang itu tidak dijangka berakhir dalam masa terdekat dan gangguan bekalan berkemungkin bertambah buruk dalam beberapa bulan akan datang.

Penghantaran melalui selat tersebut, yang mengendalikan satu perlima bekalan minyak dan gas dunia, terhenti hampir sepenuhnya sejak Amerika Syarikat (AS) dan Israel memulakan pengeboman ke atas Iran pada 28 Februari.

“Di Asia, kita amat terkesan kerana kebergantungan tinggi terhadap tenaga dan bekalan penting lain dari Teluk,” katanya.

Beliau berkata, beberapa negara serantau sudah mengalami kekurangan bahan api, syarikat penerbangan mengurangkan operasi perjalanan dan kilang melaporkan kelewatan.

“Secara global, inflasi akan meningkat, bermula daripada tenaga dan merebak kepada makanan serta keperluan asas lain. Sesetengah ekonomi mungkin terjerumus ke dalam kemelesetan, dan Singapura akan turut merasai kesannya secara langsung.

“Pertumbuhan kita tahun ini akan perlahan, inflasi lebih tinggi dan semua ini akan memberi tekanan sebenar kepada perniagaan, pekerja serta isi rumah,” katanya.

Beliau tidak memberikan sebarang angka, namun Kementerian Perdagangan pada Februari berkata ia menjangkakan ekonomi berkembang antara 2.0 hingga 4.0 peratus tahun ini, meningkat daripada ramalan sebelumnya iaitu 1.0 hingga 3.0 peratus.

“Kita mesti bersedia dan berdepan dengan tempoh yang lebih mencabar. Saya mahu berterus terang supaya kita bersedia dari segi mental,” katanya.

Bagaimanapun, Singapura berdepan krisis itu daripada kedudukan yang lebih kukuh berikutan dasar yang dilaksanakan sebelum ini bagi membina daya tahan tenaga, termasuk sebagai hab penapisan minyak dan pusat perdagangan tenaga utama.

Wong memberi amaran walaupun Selat Hormuz dibuka semula, keadaan tidak akan kembali seperti biasa dengan segera

“Pelabuhan dan infrastruktur tenaga rosak. Laluan perkapalan perlu dibersihkan daripada periuk api.

“Keyakinan juga perlu dipulihkan bahawa selamat untuk kapal melalui kawasan itu, bahawa insurans boleh diperoleh, dan pihak berkaitan sanggup mengambil risiko untuk menggunakan selat tersebut,” katanya.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×