BAITULMUQADDIS: Kementerian Luar Israel hari ini mengesahkan menahan kira-kira 175 aktivis di atas 20 kapal yang membawa misi bantuan ke Gaza.
“Kira-kira 175 aktivis daripada lebih 20 kapal kini sedang dibawa secara aman ke Israel,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan, sambil menyertakan video aktivis berkenaan di atas kapal tentera laut Israel.
Israel mengawal semua laluan masuk ke Gaza, dan dituduh oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa NGO antarabangsa menyekat aliran barangan ke wilayah itu, sekali gus menyebabkan kekurangan bekalan sejak perang bermula pada Oktober 2023.
Terdahulu, pasukan tentera Israel dilaporkan memintas kapal yang belayar bersama Global Sumud Flotilla menggunakan dron, teknologi gangguan komunikasi dan pasukan bersenjata bagi menghentikan konvoi bantuan kemanusiaan itu di tengah Laut Mediterranean.
“Bot-bot kami dihampiri oleh bot tentera, yang mengenal pasti diri mereka sebagai Israel, menghalakan laser dan senjata serangan separa automatik, mengarahkan peserta ke hadapan bot dan berlutut.
“Bot kami telah dikepung secara haram oleh kapal tentera laut Israel di perairan antarabangsa dan diugut dengan penculikan serta keganasan,” menurut kenyataan flotilla itu pada Khamis.
Mereka turut mendakwa komunikasi dengan 11 buah kapal terputus, manakala media Israel melaporkan bahawa 7 buah kapal telah dipintas.
Flotila itu menegaskan bahawa kerajaan-kerajaan dunia perlu bertindak segera bagi melindungi misi tersebut.
Flotila itu, yang terdiri daripada lebih 50 buah bot, belayar dalam beberapa minggu kebelakangan ini dari Marseille di Perancis, Barcelona di Sepanyol dan Syracuse di Itali.
Flotila itu kini berada di luar pantai Greece, berhampiran Crete, menurut pengesanan langsung organisasi itu di laman webnya.- AGENSI










