PETALING JAYA: Perbincangan berhubung isu tiga ekor gajah milik negara, Dara, Amoi dan Kelat (DAK) dijadualkan berlangsung hari ini bagi meneliti tuntutan dan kebajikan haiwan tersebut secara menyeluruh.
Pengerusi Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara (SBKN), Datuk Dr. Kalai Vanar berkata, pihaknya akan membangkitkan beberapa persoalan termasuk kebajikan gajah, isu gading, perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) serta rasional program pembiakan terhadap gajah tersebut.
Sesi pertemuan itu dijadual berlangsung pukul 1 petang ini di pejabat Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
“Isu utama diketengahkan adalah kebajikan Dara, Amoi dan Kelat yang didakwa tidak sesuai dengan persekitaran semasa di Zoo Tennoji, Osaka sehingga ada dakwaan mengatakan gajah tersebut berada dalam keadaan stres.
“Lagipun sebelum ini, ketiga-tiga gajah tersebut dilaporkan tidak pernah ditempatkan di Zoo Taiping, sebaliknya telah dibesarkan sejak kecil di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah di bawah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, sekumpulan aktivis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan segera membawa pulang gajah milik negara iaitu Dara, Amoi dan Kelat dihantar ke Zoo Tennoji di Osaka, Jepun kerana didakwa mengalami penderitaan dan tidak sesuai dengan persekitaran di sana.
Kalai berkata, pihaknya menyerahkan memorandum kepada Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Jumaat lepas bagi menuntut tindakan segera kerajaan berhubung perkara itu.
Kalai berkata, terdapat dakwaan tingkah laku seperti menggoyangkan kepala menunjukkan tekanan dialami terhadap gajah tersebut, selain laporan menyatakan Kelat mengalami kecederaan kaki sehingga menjejaskan pergerakan.
Katanya, persoalan lain termasuk rasional program pembiakan melibatkan hanya tiga gajah dan kandungan MoU dimeterai sebelum ini kerana pihak NRES perlu bertanggungjawab terhadap perkara tersebut.
“Saya berharap perbincangan tersebut mencapai hasil positif demi memastikan masa depan tiga gajah berkenaan terus terpelihara dengan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, ketika ini Dara, Amoi dan Kelat berada dalam keadaan sihat dan dipantau rapi gembala gajah atau mahut Perhilitan yang berada di sana.
Pemantauan kesihatan dan pemakanan dilakukan secara berterusan termasuk melalui perbincangan panggilan video bersama mahut di Zoo Tennoji bagi memastikan kebajikan gajah sentiasa terjaga.
Kesemua gajah tersebut dalam keadaan sihat dan gembira melalui pemantauan rapi oleh mahut di sana. – UTUSAN










