1,000 pekerja MRCB terima vaksin - Utusan Malaysia

1,000 pekerja MRCB terima vaksin

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (kanan) bersama seorang kakitangan MRCB yang telah menerima suntikan vaksin menerusi inisiatif Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 1,000 pekerja Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) dari kategori sektor pembinaan telah dipilih untuk menerima vaksinasi pertama mereka hari ini.

Pemberian vaksin itu melalui usaha syarikat berkenaan yang menganjurkan program pemberian vaksin kepada pekerja menerusi inisiatif Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah.

Menurut MRCB, inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) itu bertujuan meningkatkan tahap kesiapsiagaan, dengan memfokuskan pemberian vaksin kepada rakyat bagi mencapai imuniti kelompok dalam kadar segera, terutamanya dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.

Jelasnya, MRCB adalah di antara industri swasta pertama yang ditawarkan untuk menerima vaksinasi di bawah inisiatif MyMedic@Wilayah berkenaan.

“Program yang diadakan di Stesen Sentral Kuala Lumpur melibatkan dua trak vaksin bergerak yang disediakan oleh Optimax Holdings Berhad. Kedua-dua trak ini menyediakan kemudahan yang sama seperti yang terdapat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan berupaya memberi vaksin kepada lapan orang secara serentak.” katanya dalam kenyataan.

Menurut Naib Presiden Eksekutif MRCB, Datuk Dell Akbar Khan, melalui soal selidik yang dijalankan dalam kalangan 1,557 pekerja, seramai lebih 1,200 orang telah mendaftar vaksinasi melalui MySejahtera, namun masih belum menerima tarikh temujanji setakat hari ini.

Katanya, dengan adanya inisiatif trak vaksinasi bergerak yang di anjurkan secara khusus kepada pekerja MRCB, ia akan dapat mempercepatkan penerimaan vaksin dalam kalangan kakitangan, sekaligus membantu mengurangkan risiko penularan Covid-19 di tapak pembinaan.

“MRCB sentiasa menitik beratkan keselamatan dan kebajikan para pekerja. Penganjuran inisiatif vaksinasi bergerak yang khusus seumpama ini amat bertepatan memandangkan kes Covid-19 ketika ini masih tinggi.

Telah menjadi keperluan terdesak bagi menjamin pekerja dilindungi. Dengan memastikan majoriti warga kerja MRCB divaksin secepat mungkin dan kami dapat mengembalikan operasi di tapak pembinaan secara optimum,” jelasnya.

Dell berkata, MRCB menyokong penuh Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dijalankan kerajaan dalam mencapai imunisasi imuniti kelompok bagi mengekang penyebaran virus COVID-19 dan terus menggalakkan kakitangannya agar segera mendapatkan vaksinasi.

“Kami amat menghargai usaha proaktif dan kerjasama yang diterima daripada Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi dalam melaksanakan program ini.

“Kami juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Optimax, Poliklinik Sentral dan kakitangan Stesen Sentral Kuala Lumpur yang turut memainkan peranan penting dalam menjayakan program ini,” katanya.

MRCB adalah sebuah syarikat pemaju hartanah dan pembinaan terkemuka, yang telah disenaraikan di Papan Utama Bursa Malaysia sejak tahun 1971. Aktiviti Kumpulan MRCB merangkumi tiga bidang iaitu pembangunan hartanah & pelaburan; kejuruteraan, pembinaan & alam sekitar dan pengurusan fasiliti.

Sebagai pemaju pembangunan ikonik KL Sentral CBD dengan nilaian RM18 bilion, MRCB adalah perintis Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di Malaysia dan menetapkan tahap piawaian untuk projek TOD bersepadu masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×