KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti penstrukturan semula laluan pendidikan prauniversiti termasuk penyelarasan program matrikulasi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, proses tersebut masih di peringkat awal kerana melibatkan perubahan dasar serta peruntukan perundangan yang perlu diperhalusi terlebih dahulu.
“Kita akan melaksanakan perkara ini mengikut proses yang ditetapkan kerana ia melibatkan peruntukan perundangan yang perlu dibuat. Sebelum ini, urusan tersebut berada di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
“Pada masa sama, kita juga sedang melihat proses penyelarasan termasuk penempatan program seperti matrikulasi ke peringkat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Media Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama (Joint Committee – JC) Malaysia – Republik Turkiye dan Kongres Pendidikan Bumiputera di World Trade Centre (WTCKL) hari ini.
Mengulas pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam, Zambry berkata, pelaksanaannya masih dalam proses dan akan dilaksanakan mengikut keputusan kerajaan.
Katanya, kadar elaun berkenaan juga belum dimuktamadkan meskipun cadangan awal telah dikemukakan sebelum ini.
“Dari segi bantuan atau biasiswa, saya tidak melihat sebarang masalah besar dan kita akan mengikut keputusan kerajaan untuk menambah bantuan kepada pelajar.
“Jumlah elaun itu belum pasti, namun KPM sebelum ini ada menyebut kadar RM250 dan kita akan mengikut keputusan tersebut,” katanya. – UTUSAN










