PMKS tertekan aliran tunai, akses pembiayaan perlu segera

PMKS tertekan aliran tunai, akses pembiayaan perlu segera

PMKS di negara ini. - GAMBAR HIASAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERUSAHAAN mikro, kecil dan sederhana (PMKS) ketika ini lebih memerlukan kelegaan aliran tunai segera berbanding akses kepada pembiayaan baharu, meskipun kemudahan RM5 bi­lion yang diumumkan kerajaan dilihat sebagai langkah soko­ngan kepada sektor berkenaan.

Presiden Nasional Persatuan PKS Malaysia, Dr. Chin Chee Seong berkata, cabaran utama yang sedang dihadapi PMKS bukan terletak pada kekurangan akses kepada pinjaman semata-mata, sebaliknya tekanan aliran tunai harian yang semakin meruncing akibat kenaikan kos operasi.

Katanya, dari sudut operasi perniagaan, kelegaan yang diberikan masih terhad kerana PMKS masih memerlukan aliran tunai harian.

“Kami mengalu-alukan pengumuman kemudahan khas RM5 bilion ini sebagai satu langkah positif dan tepat pada masanya. Ia menunjukkan kerajaan peka terhadap tekanan yang dihadapi oleh PMKS akibat ketidaktentuan global.

“Namun kelegaan yang dirasai masih terhad. Cabaran sebenar PMKS hari ini adalah aliran tunai harian, bukan sekadar akses kepada pembiayaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, kemudahan tersebut menyediakan akses kepada pembiayaan dan membantu mengekalkan kelangsungan perniagaan. 

Namun begitu, Chee Seong berkata, pembiayaan tetap merupakan komitmen hutang yang perlu dibayar semula. 

“Jika tidak disertai dengan langkah mengurangkan kos atau memberi kelegaan aliran tunai, ia boleh menambah beban kewangan kepada perniagaan dalam jangka masa panjang,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai proses yang dilalui oleh PMKS bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan sebelum ini, beliau berkata, maklum balas daripada ahli industri mendapati proses permohonan masih berdepan cabaran dari segi birokrasi, tempoh kelulusan yang panjang serta syarat yang ketat.

“Walaupun pelbagai inisiatif telah diperkenalkan, isu utama adalah dari segi kelajuan dan kebolehcapaian. 

“Bantuan yang baik dari segi dasar perlu disokong dengan pelaksanaan yang cekap supaya benar-benar sampai kepada PMKS yang memerlukan dalam masa yang kritikal.

“PMKS memerlukan dana ini dalam jangka masa segera, bukan dalam tempoh berbulan-bulan,” jelasnya.

Beliau berkata, dalam keadaan kos bahan api, logistik, bahan mentah dan kos operasi lain meningkat serentak, aliran tunai perniagaan semakin tertekan setiap hari. 

“Jika bantuan lambat disalurkan, banyak perniagaan mungkin sudah menghadapi kesukaran untuk bertahan sebelum bantuan itu diterima,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, pendekatan bersasar ini jauh lebih baik berbanding moratorium pinjaman secara pukal yang hanya akan memanjangkan tempoh pinjaman dan jumlah bayaran faedah bagi PMKS.

Katanya, Samenta bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa krisis ini bukan situasi sementara dan kita perlu bersedia untuk perubahan yang berpanjangan. 

“Justeru, kami mencadang­kan agar kerajaan memperkukuh daya tahan PMKS dengan memberi tumpuan ke­pada Peralihan Tenaga dan Ekonomi Kitaran.

“Selain modal kerja, kami mencadangkan sebahagian jaminan SJPP dikhususkan untuk PMKS beralih kepada tenaga boleh diperbaharui. 

“Ini termasuk pembiayaan kadar rendah untuk pemasangan solar fotovoltaik (PV) dan mesin cekap tenaga bagi mengurangkan kos overhed secara kekal dan mengurangkan kebergantungan kepada harga bahan api global,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×