SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor melancarkan penerbitan akhbar, Suara Kebangsaan bagi memperkukuh penyampaian maklumat parti kepada rakyat di negeri ini.
Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penerbitan itu menjadi inisiatif bagi memastikan segala perbincangan dasar serta gerak kerja parti dapat disampaikan secara terus kepada rakyat.
Menurutnya, akhbar tersebut akan memaparkan pelbagai isu rakyat khususnya di Selangor selain mengetengahkan pendekatan serta dasar yang dibawa oleh Bersatu.
“Ini usaha kecil BPN Selangor untuk memastikan maklumat berkaitan dasar dan inisiatif parti turun ke lapangan supaya rakyat lebih yakin dengan Bersatu.
“Kita mahu rakyat memahami dasar-dasar Peduli Rakyat dan Prihatin Rakyat yang dibawa parti ini,” katanya berucap di Konvensyen Bersatu Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.
Tambah beliau, penerbitan akhbar itu dilihat sebagai langkah berbeza yang belum pernah dilaksanakan oleh badan pimpinan negeri lain.
“Tidak ada badan pimpinan negeri yang berjaya melakukan ini, jauh sekali negeri lain. Inilah Selangor.
“Kami bekerja kuat dan berusaha bersungguh-sungguh supaya rakyat boleh meneliti apa itu Bersatu, jenama serta dasar yang dibawa parti,” katanya.
Beliau berkata, keyakinan rakyat terhadap parti menjadi asas penting dalam usaha menawan Selangor dan seterusnya Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang.-UTUSAN










