GUA MUSANG: Seorang lelaki warga Thailand ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat seorang penoreh getah yang juga rakan senegaranya di kawasan anak air di Kampung Pulai di sini, Khamis lalu.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 46 tahun yang bermula hari ini dikeluarkan Hakim Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, tahanan reman itu membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, misteri kehilangan seorang penoreh getah warga Thailand terungkai apabila mayatnya ditemukan dengan kesan tetakan di badannya di sebuah anak sungai di Kampung Pulai.
Manah Maemoh, 48, ditemukan kira-kira pukul 2 petang selepas seorang rakan senegaranya membuat laporan kepada polis susulan kehilangan lelaki itu sehari sebelumnya. – UTUSAN











