TAPAH: Pengguna Jalan Tapah-Cameron Highlands menyifatkan laluan tersebut sangat berbahaya dan mencabar kerana laluannya yang sempit, banyak selekoh, gaung di kiri dan kanan selain gelap pada waktu malam.
Pemandu di laluan itu juga berdepan risiko kemalangan jika berselisih dengan kenderaan berat yang biasanya ‘makan jalan’ disebabkan laluannya yang sempit.
Kemalangan terbaharu di laluan itu berlaku kelmarin, di Batu 21, Jalan Tapah menghala ke Cameron Highlands menyebabkan seorang lelaki berusia 44 tahun maut apabila kereta dipandunya masuk dalam gaung.
Tinjauan semalam mendapati lokasi kemalangan maut kelmarin iaitu di satu berselekoh, hanya dipasang dengan penghadang plastik berwarna putih.
Bagi pemandu lori sayur dari Tanah Rata, Cameron Highlands yang hanya mahu dikenali Mike, 56, dia menggunakan laluan itu tiga kali seminggu untuk menghantar hasil kebun ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, walaupun sudah mahir dan mengetahui selok belok laluan itu, dia tetap menganggap laluan itu sangat mencabar kerana sempit, berselekoh dan gaung di kiri kanan jalan serta gelap pada waktu malam.
“Jalan yang gelap, banyak selekoh dan sempit memang dari dulu macam ini. Bagi saya keadaan paling ditakuti ialah selepas hujan, risau kemungkinan pokok tumbang.
“Bagi saya memandu pada waktu malam lebih selamat kerana walaupun banyak selekoh, kita nampak lampu lampu kenderaan yang datang dari arah depan.
“Jalan ini perlu dinaik taraf terutama melebarkan jalan supaya tiada masalah untuk kenderaan selisih dan selamat kerana di kiri kanan jalan ini banyak gaung,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Bagi lelaki Orang Asli, Selat Anak Lelaki Batin, 49, yang rumahnya terletak tidak jauh dari lokasi kemalangan kelmarin berkata, laluan tersebut banyak digunakan lori sayur dari Cameron Highlands.
Katanya, ini menjadikan pemanduan di situ sangat mencabar apabila berselisih dengan lori sayur. – UTUSAN










