PETALING JAYA: Peruncit pakaian, Padini Holdings Bhd memulakan semakan dalaman bagi menilai keadaan berhubung pembekuan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut syarikat itu, berdasarkan maklumat semasa, perintah berkenaan dikeluarkan oleh SPRM susulan siasatan yang sedang dijalankan melibatkan beberapa pihak ketiga luar kumpulan yang bukan pekerja, pegawai atau sebahagian daripada pengurusan syarikat.
“Syarikat ingin menegaskan berdasarkan maklumat semasa, kami tidak mengetahui sebarang dakwaan atau salah laku di pihak syarikat dan memahami bahawa pembekuan akaun tersebut merupakan satu prosedur dalam perjalanan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Padini berkata, pihaknya juga telah melantik penasihat undang-undang luar bagi memberikan nasihat berhubung perkara tersebut serta mengambil langkah perlu termasuk memohon relif sewajarnya bagi tujuan penyahbekuan akaun terlibat.
Katanya, operasi harian kumpulan dan perniagaan kekal berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Syarikat akan memberikan maklum balas lanjut dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan material.
“Pada masa sama, syarikat komited untuk terus memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta memastikan ketelusan sepanjang proses siasatan,” katanya.
Semalam, Padini dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan SPRM telah membekukan beberapa akaun bank milik syarikat dan anak syarikatnya menerusi perintah di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. – UTUSAN











