BATU KAWAN: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk terus meningkatkan keupayaan, profesionalisme dan ketegasan mereka dalam melaksanakan tugas.
Perdana Menteri berkata, usaha itu perlu digerakkan seiring dengan langkah pendigitalan bagi meningkatkan tahap integriti serta menepis sebarang tohmahan terhadap agensi berkenaan.
“Kalau ikut pengalaman hidup saya dari semasa mula ada motosikal dan kereta, banyak kontroversi dna kritikan terhadap JPJ. Itu saya harus akui.
“Tetapi, timbang (berbanding) puluhan tahun yang lalu, imej JPJ jauh lebih baik sekarang dan saya ucap tahniah,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Ulang Tahun Hari JPJ ke-80 dan Karnival Mega JPJ Madani di pekarangan Stadium Batu Kawan di sini, hari ini.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sebanyak RM5.6 bilion hasil digitalisasi yang telah dijana oleh JPJ ketika ini adalah manifestasi konkrit bahawa tatakelola yang baik dan teknologi yang tepat guna bukan sahaja memudahkan rakyat, malah, menguatkan khazanah negara.
Katanya, wang tersebut adalah milik rakyat dan pihaknya menguruskan hasil digitalisasi itu dengan penuh amanah.
“Untuk pengetahuan, JPJ adalah antara agensi terawal dalam sektor penguatkuasaan yang mengamalkan piawaian ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah secara berterusan sejak tahun 2017.
“Ini bukan sekadar pengiktirafan sijil, tetapi bukti bahawa budaya integriti telah disulamkan ke dalam DNA organisasi JPJ,” ujar beliau. – UTUSAN











