PETALING JAYA: Lembaga Minyak sawit Malaysia (MPOB) menegaskan, minyak olein dalam bungkusan plastik 1 kilogram (kg.) yang dijual di pasaran tempatan bukan minyak kitar semula dan kualitinya menepati kualiti ditetapkan.
Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmed Parveez Ghulam Kadir berkata, tanggapan bahawa minyak masak dalam bungkusan plastik 1 kg. yang dijual dengan harga subsidi mempunyai kualiti yang lebih rendah adalah salah.
Beliau berkata, pengguna dan persatuan pengguna menganggap minyak masak dalam bungkusan plastik 1kg mempunyai kualiti yang lebih rendah berbanding minyak masak dalam botol kerana harganya yang lebih murah.
“Harga minyak masak dalam bungkusan plastik 1 kg. disubsidi dan dikawal oleh Kerajaan. Oleh itu, harganya lebih murah berbanding harga minyak masak dalam botol di pasaran.
“MPOB menjalankan pemantauan secara berkala dan pengujian sampel minyak masak di pasaran mendapati bahawa kualiti dan ciri-ciri penting adalah menepati kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Standard Malaysia.
“Ini meliputi kandungan asid oleik, warna dan kualiti penting termasuk sebatian polar, sebatian polimer, indeks kestabilan oksidatif dan vitamin E (tokotrienol dan tokoferol),” katanya dalam kenyataan, semalam.
Ahmad Parveez berkata, ketika ini terdapat 49 kilang penapis yang aktif beroperasi serta 312 syarikat pembungkus minyak masak untuk kegunaan tempatan dianggarkan sebanyak satu juta tan setahun.
Beliau berkata, minyak masak di pasaran tempatan dijual dalam pelbagai saiz bungkusan daripada paket plastik 1 kg. hingga minyak masak dalam botol bersaiz 1 kg. hingga 5 kg., manakala saiz bungkusan 17 kg. dalam tin digunakan oleh industri kecil dan sederhana (IKS).
“Kebanyakan minyak masak daripada bungkusan plastik 1 kg. dikeluarkan oleh syarikat pembungkus kerana kos operasi yang rendah. Minyak masak plastik 1 kg. biasanya dijual dalam bentuk karton dengan berat 17 kg. (yang mengandungi 17 paket 1 kg. minyak masak),” jelasnya.
Kata Ahmd Parveez, tahun lalu, Malaysia mengeluarkan 19.14 juta tan minyak sawit mentah dan penggunaan minyak masak olein untuk pasaran tempatan hanya merangkumi 4.1 peratus daripada jumlah pengeluaran minyak sawit mentah negara.
“Minyak masak terpakai biasanya diproses semula untuk tujuan bukan makanan terutama dijadikan biodiesel dan dieksport. Eksport minyak masak terpakai berjumlah 195,559 tan bernilai RM606.88 juta pada 2020 berbanding 123,519 tan bernilai RM308.49 juta pada 2019. Dari Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 40,522 tan minyak masak terpakai bernilai RM153.01 juta telah dieksport,” jelas beliau. – UTUSAN










