PETALING JAYA: Polis mengesahkan kejadian seorang wanita warga Myanmar yang maut dipercayai ditikam bekas suaminya dalam kejadian di Genting Court Condominium, Setapak dekat sini semalam.
Maklumat mengenai kejadian itu diterima polis kira-kira pukul 2.20 petang melalui panggilan orang awam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, maklumat awal memaklumkan mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di lokasi kejadian dan dipercayai telah ditikam oleh seorang lelaki.
“Sepasukan polis yang digerakkan ke lokasi berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar pada hari sama bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek merupakan bekas suami mangsa.
“Polis turut merampas senjata yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.
“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur mengesahkan punca kematian mangsa adalah akibat kecederaan tikaman di bahagian dada,” katanya.
Menurutnya, direman selama tujuh hari bermula 24 April hingga 30 April ini bagi membantu siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Polis memandang serius kejadian tersebut dan memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara menyeluruh, profesional serta telus,” jelasnya.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999. – UTUSAN










