Lelaki didakwa perdaya RM64,500 untuk gelaran Datuk

Lelaki didakwa perdaya RM64,500 untuk gelaran Datuk

TENGKU Ahmad Ariff Mulia Tengku Daeng Bahaismail diiringi polis ke Kompleks Mahkamah Seremban hari ini bagi pertuduhan memperdayakan seorang lelaki untuk mendapatkan pingat darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran Datuk tahun lalu. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan kes memperdayakan untuk mendapatkan pingat darjah kebesaran negeri yang membawa gelaran Datuk di sini, tahun lalu.

Tertuduh, Tengku Ahmad Ariff Mulia Tengku Daeng Bahaismail,27, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurul Saqinah Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya menipu seorang lelaki dengan memperdayakan mangsa untuk membuat pembayaran sebanyak RM64,500 bagi menguruskan permohonan Pingat Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (D.B.N.S) yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan ke-78 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Perbuatan itu didakwa mendorong mangsa menyerahkan wang berkenaan yang tidak akan diserahkan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Taman Nuri Indah di sini antara 30 Mac hingga 6 Disember tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan

Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin, menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 tanpa syarat kepada tertuduh.

Peguam, Chrysandy Lai menyebut bagi pihak Tetuan Rivera, Rosli & Co yang mewakili tertuduh, memohon jaminan munasabah atas alasan tertuduh kini tidak bekerja dan menjaga ibunya dengan bapanya baharu meninggal dunia.

Menurutnya, berlaku salah faham dan mangsa dalam kes tersebut adalah kenalan ahli keluarga, malah difahamkan kes itu akan diselesaikan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM5,000 dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 Jun depan bagi serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×