PUTRAJAYA: Demi menyeludup kuantiti besar bahan api ke negara jiran, sebuah kenderaan telah diubah suai untuk ‘membina’ lebih daripada tiga tangki minyak.
Itu antara taktik licik penyeludup bahan api yang dikesan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi Op Tiris.
Ketua Pengarah Penguat kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, hasil serbuan mendapati tangki tambahan itu bukan sahaja dipasang di bahagian bonet, malah turut ditemukan di bawah tempat duduk depan dan belakang serta ruang tersembunyi lain dalam kenderaan.
“Dalam beberapa kes yang kita sita, hampir keseluruhan ruang dalam kenderaan telah diubah suai dengan tangki tambahan tanpa kelulusan,” katanya dalam sidang sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, pengubahsuaian itu bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah mengundang risiko keselamatan tinggi kepada pemandu dan pengguna jalan raya lain.
Azman berkata, pemasangan tangki tanpa piawaian keselamatan boleh menyebabkan kebocoran atau letupan, sekali gus membahayakan nyawa.
“Ini bukan sahaja merisikokan mereka yang terlibat, tetapi juga orang awam di sekeliling,” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat juga kes di mana dua lubang pengisian bahan api disediakan pada kenderaan berkenaan.
“Satu lubang digunakan seperti biasa, manakala satu lagi disambungkan kepada tangki tambahan yang tersembunyi,” katanya.
Sementara itu, katanya, terdapat juga kes di mana kenderaan digunakan berulang kali untuk membuat pengisian dalam jumlah kecil tetapi konsisten sebelum dikumpulkan secara pukal. – UTUSAN











