BUTTERWORTH: Seorang warga Myanmar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuba menyembunyikan dan melindungi migran yang diseludup, bulan lepas.
Hakim Roslan Hamid bagaimanapun menangguhkan perbicaraan kes itu pada 14 Mei depan bagi membolehkan jurubahasa Myanmar dilantik agar pertuduhan dapat dibacakan dengan jelas dan difahami oleh tertuduh, Than Aung, 37.
Pada prosiding sama, beliau turut memutuskan bahawa tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh sementara menunggu tarikh sebutan semula kes.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa menyembunyikan atau melindungi lima migran diseludup terdiri daripada empat lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga China dengan mengetahui atau mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai kesemua mereka adalah migran yang diseludup pada 29 Mac lalu.
Kesalahan itu membolehkan dia didakwa mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, selain boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. – UTUSAN










