PUTRAJAYA: Kementerian Digital akan mengenal pasti keperluan khusus merentas pelbagai sektor bagi memastikan penyelesaian teknologi dapat disalurkan secara berkesan kepada kumpulan sasaran.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan penggunaan kecerdasan buatan (AI) bukan sahaja difahami, malah mampu diterjemahkan kepada manfaat nyata termasuk membantu perniagaan mengatasi cabaran sedia ada serta meningkatkan daya saing.
“Pastikan penyelesaian yang dibangunkan sampai kepada kumpulan sasaran yang memerlukan teknologi supaya mereka dapat keluar daripada masalah terdahulu dan pada masa sama menggunakan teknologi untuk memperkukuh perniagaan masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan inisiatif Microsoft Elevate di sini hari ini.
Microsoft Elevate bertujuan mengembangkan peluang untuk peningkatan kemahiran di Malaysia dengan pelan berfasa sehingga 2030, bermula daripada pengaktifan kemahiran dan tenaga kerja.
Dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Sekretariat Majlis TVET Negara serta Biji-Biji Initiative & Mereka, usaha tersebut mencerminkan komitmen seluruh negara untuk memastikan setiap segmen masyarakat bersedia untuk era AI.
Bermula dengan fasa perintis yang dilancarkan pada Januari lalu, Microsoft Elevate telah berjaya memperkasakan 80,000 peserta merangkumi golongan pendidik, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pesara angkatan tentera, institusi pendidikan dan penjawat awam.
Gobind berkata, selepas memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur digital sejak dua tahun lalu, keutamaan kini adalah memastikan tahap penggunaan teknologi dalam kalangan rakyat dan pemain industri dapat dipertingkatkan.
“Angka yang ada menunjukkan pencapaian tersebut. Namun persoalannya sama ada teknologi itu benar-benar sampai kepada kumpulan yang memerlukan penyelesaian berkenaan dan perkara ini sememangnya dalam perhatian kita,” ujarnya. – UTUSAN











