KUANTAN : Ibu dan bapa kepada Luqman Kamil Jamaluddin, 16, mangsa lemas di Pantai Balok, di sini pada 17 April lalu menuntut pihak berwajib memberi penjelasan mengenai kejadian yang menimpa anak mereka.
Bapanya, Jamaluddin Wahudin, 57, berkata, mereka sekeluarga tertanya-tanya bagaimana seorang pelajar asrama boleh berada di lokasi terbabit tanpa pengetahuan pihak sekolah.
“Saya tidak pernah menandatangani sebarang dokumen membenarkan anak saya keluar dari asrama. Jadi bagaimana mereka boleh melepasi kawalan keselamatan sekolah?
“Sehingga kini kami belum menerima sebarang penjelasan rasmi daripada pihak sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mahupun Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung insiden itu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felda Lepar Hilir 3 di sini, hari ini.
Menurut Jamaluddin, beberapa persoalan utama timbul termasuk bagaimana pelajar terbabit memperoleh kebenaran keluar dari asrama serta pihak yang menyediakan pengangkutan ke pantai tersebut.
Katanya, kejadian itu juga menimbulkan tanda tanya memandangkan anaknya tidak mempunyai kebiasaan mencari atau memakan kepah, selain tidak tahu berenang.
“Anak saya sendiri beritahu tidak pulang ke rumah hujung minggu itu kerana mahu mengulang kaji pelajaran dan pelajar tidak dibenarkan keluar,” katanya.
Jamaluddin berkata, keluarganya hanya mahukan kebenaran dan keadilan terhadap kematian anak bongsu daripada 10 beradik itu.
Sementara itu, ibu mangsa, Siti Roslina Misban, 56, menyifatkan Luqman Kamil sebagai anak yang ceria dan manja dalam kalangan adik-beradik.
“Sejak pemergian arwah, kehidupan kami berubah. Saya berharap segala persoalan yang bermain di fikiran kami akan terjawab,” ujarnya.
Dalam kejadian itu, mangsa bersama rakan-rakannya dikatakan mencari kepah di pantai berkenaan namun dihanyutkan arus ketika cuba berenang ke pantai apabila air pasang.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira 400 meter dari lokasi kejadian pada pukul 2.15 petang, 18 April.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan pihak kementerian sedang menjalankan siasatan dalaman bagi mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Jabatan Pendidikan Negeri Pahang pula dilaporkan menyatakan bahawa mangsa bersama rakan-rakannya keluar dari asrama tanpa pengetahuan pihak sekolah dan ia bukan sebahagian daripada program rasmi. – UTUSAN











