PETALING JAYA: Syarikat media digital, Foodie Media Bhd. merekodkan keuntungan bersih bernilai RM3.19 juta bagi suku kedua berakhir 28 Februari 2026, didorong terutamanya oleh aktiviti teras media digitalnya.
Walau bagaimanapun, perolehan bersih bagi suku tersebut menyusut 15.6 peratus berbanding RM3.78 juta yang dicatatkan pada suku pertama tahun kewangan 2026.
Pendapatan suku tahunan syarikat pula meningkat kepada RM13.19 juta berbanding RM12.56 juta pada suku sebelumnya, disumbangkan oleh tajaan dan hantaran pemasaran pempengaruh melalui segmen kandungan dan pencipta.
Segmen kandungan dan pencipta kekal menjadi nadi utama syarikat dengan menyumbang kira-kira 86.6 peratus atau RM11.43 juta daripada keseluruhan pendapatan.
Susulan prestasi itu, lembaga pengarah mengumumkan dividen sulung syarikat berjumlah 0.53 sen sesaham, merangkumi dividen interim pertama (0.32 sen) dan dividen khas (0.21 sen) yang akan dibayar pada 25 Mei ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media, Nicholas Lim Pinn Yang berkata, industri media digital sedang mengubah cara jenama dan pengguna berhubung, dan Malaysia kini berada di peringkat awal transformasi tersebut.
“Tugas kami adalah untuk melaksana dengan disiplin, melabur dengan keyakinan dan membina Foodie Media menjadi salah satu perniagaan media digital paling bermakna di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.
Foodie Media kekal positif terhadap prospek masa hadapan syarikat berdasarkan permintaan berterusan merangkumi empat tonggak utama iaitu kandungan, pencipta, perdagangan dan komuniti, seiring dengan trend industri pengiklanan digital yang memberangsangkan.
Kumpulan itu sebelum ini disenaraikan di Pasaran ACE pada November 2025 dengan harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 30 sen, yang berjaya mengumpul dana RM41.4 juta bagi tujuan pengembangan perniagaan.
Saham Foodie Media naik 11.76 peratus kepada 38 sen pada dagangan tengah hari semalam, memberikan kumpulan itu permodalan pasaran sebanyak RM337.4 juta. – UTUSAN










