KUALA LUMPUR: Tiga individu yang dipercayai terlibat dengan sindiket penyimpanan dan pengedaran rokok seludup ditahan polis dalam serbuan di sebuah rumah di Seri Kembangan dekat sini, malam tadi.
Op Taring Alpha 1 yang dijalankan oleh Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Bukit Aman itu merampas lebih 5,000 karton rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.02 juta.
Komander WCB/PSK Bukit Aman, Datuk. Mohd. Zaki Ashar berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 8 malam di sebuah premis di Taman Sri Serdang.
“Tiga lelaki tempatan berusia antara 34 hingga 43 tahun yang terdiri daripada seorang penyelia dan dua pekerja ditahan dalam operasi tersebut.
“Polis turut merampas sebanyak 5,111 karton rokok pelbagai jenama yang dipercayai diseludup dan tidak dibayar duti kastam,” katanya.
Mohd. Zaki berkata, rokok-rokok itu disimpan di beberapa bahagian rumah termasuk ruang tamu, bilik tidur, stor serta ruang rehat.
“Kita percaya premis ini dijadikan sebagai pusat penyimpanan dan pengedaran rokok tidak bercukai bagi pasaran Lembah Klang serta untuk diedarkan ke luar negara.
“Semua suspek bersama barangan rampasan telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barangan tidak berkastam. – UTUSAN










