PETALING JAYA: Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) mencipta sejarah sebagai syarikat konsesi lebuh raya pertama di Malaysia yang meraih Anugerah Emas pada PR Awards 2026.
Anugerah itu diterima bagi kategori Best Use of Technology/AI for PR yang dianjurkan oleh MARKETING-INTERACTIVE di Singapura, baru-baru ini.
Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE, Syed Mohammed Idid berkata, pengiktirafan tersebut meletakkan WCE sebagai penanda aras baharu dalam industri lebuh raya negara.
“Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini. Pencapaian ini mencerminkan dedikasi pasukan dalam memperkukuh komunikasi bersama pihak berkepentingan.
“Dengan memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, kami memastikan maklumat yang disampaikan sentiasa tepat, pantas dan memberi nilai kepada pengguna lebuh raya,” katanya dalam kenyataan.
Kemenangan itu turut mencerminkan pencapaian signifikan WCE apabila berjaya menonjol di peringkat serantau, bersaing dengan organisasi korporat pelbagai industri termasuk Shopee (Indonesia) serta CapitaLand (Singapura).
Beliau berkata, pengiktirafan itu juga mencerminkan keupayaan WCE memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) secara strategik bagi memperkukuh komunikasi awam.
Menurutnya, ia khususnya dalam pengurusan isu, pemantauan sentimen serta penyampaian maklumat berimpak tinggi kepada pengguna lebuh raya dan pihak berkepentingan.
“Sepanjang tempoh penilaian, WCE memperkukuh kerangka komunikasi melalui integrasi alat pemantauan media dan analitik berasaskan AI.
“Pendekatan ini membolehkan organisasi memahami sentimen awam secara masa nyata, mengenal pasti risiko komunikasi lebih awal serta memastikan mesej yang disampaikan tepat, konsisten dan relevan,” ujarnya.
Selain itu, pendekatan berasaskan data tersebut turut meningkatkan keupayaan respons pantas merentasi pelbagai saluran komunikasi, sekali gus menyokong kefahaman awam terhadap pembangunan dan operasi lebuh raya.
“Inisiatif ini memperlihatkan bagaimana teknologi dimanfaatkan secara praktikal dalam perhubungan awam, bukan sekadar alat sokongan, sebaliknya sebagai pemacu utama kecekapan, ketelusan dan pembinaan kepercayaan.
“Pengiktirafan bertaraf serantau ini turut mengukuhkan komitmen WCE terhadap penambahbaikan berterusan, selaras dengan peranannya sebagai syarikat konsesi lebuh raya yang mengutamakan kepentingan awam serta inovasi dalam penyampaian komunikasi,” jelasnya.
PR Awards merupakan platform pengiktirafan utama industri perhubungan awam merentasi Asia Selatan, Asia Tenggara dan Oceania, dengan penilaian oleh panel bebas terdiri daripada pakar industri. – UTUSAN











