PUTRAJAYA: Kerajaan mengesahkan 200 juta liter diesel yang dilaporkan sedang dalam perjalanan ke pantai Australia bukan bekalan milik Malaysia.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu telah disahkan oleh Pusat Arahan Komunikasi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan pihak berkaitan.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, dakwaan itu merujuk kepada laporan berkaitan penghantaran bekalan api yang melibatkan beberapa negara termasuk Brunei dan Malaysia.
“Bekalan diesel berkenaan adalah sebahagian daripada kontrak perdagangan pihak Australia dengan syarikat petroleum antarabangsa iaitu British Petroleum atau BP.
“Saya ada membaca laporan dari sebuah agensi berita dari Australia yang dimaksudkan 200 juta liter diesel itu melibatkan sejumlah negara termasuk Brunei dan Malaysia.
“Namun, semakan mendapati bahawa ia bukan diesel Malaysia tapi sama (dakwaan sama) seperti kes penghantaran diesel ke Filipina baru-baru ini,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Jemaah Negeri, di sini hari ini.
Katanya, difahamkan pihak Australia mempunyai kontrak perdagangan dengan BP yang mempunyai gudang di perairan Malaysia dan kapal yang akan mengangkut diesel tersebut akan bergerak dari Malaysia.
Laporan sebuah agensi antarabangsa menyebut, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese mendakwa tambahan 200 juta liter diesel sedang dalam perjalanan ke pantai Australia, yang mana dua kargo datang dari Korea Selatan, satu dari Brunei dan satu lagi dari Malaysia.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, tiada sebarang perkembangan terkini berhubung rundingan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk membeli minyak daripada Russia. – UTUSAN











