Kadar sewa di Kuala Lumpur cecah paras tertinggi 7 tahun

Kadar sewa di Kuala Lumpur cecah paras tertinggi 7 tahun

PEMANDANGAN Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar sewa bulanan purata di Kuala Lumpur, termasuk kawasan Segitiga Emas, merekodkan paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun pada separuh pertama 2024 sebelum mula menunjukkan tanda penstabilan.

Data daripada firma rangkaian hartanah global, IQI mendedahkan kadar sewa purata mencecah RM6,454 sebulan dalam tempoh tersebut, melonjak 58 peratus berbanding tahun sebelumnya bagi kawasan meliputi poskod 50200, 50450 dan 55100.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI, Kashif Ansari berkata, lonjakan itu merupakan rekod tertinggi sejak IQI mula menjejaki data pada 2018, didorong oleh pemulihan pantas pasca pandemik selepas kadar sewa merosot ke paras RM3,266 sebulan pada awal 2021.

“Bagaimanapun, pasaran kini sedang memasuki fasa konsolidasi. Purata sewa telah menyederhana dan kini berada dalam julat RM4,500 hingga RM5,000 sepanjang tahun 2025.

“Kami menjangkakan kadar sewa akan kekal stabil dalam julat ini bagi tempoh 12 bulan akan datang, sekali gus memberikan lebih jangkaan buat penyewa,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Kashif, kediaman mewah seperti Banyan Tree Signatures Pavilion, Four Seasons Place dan St Mary Residences terus menetapkan tanda aras bagi kediaman ultra-mewah dengan kadar sewa mencecah melebihi RM15,000 sebulan.

Namun begitu, beliau berkata, pusat bandar Kuala Lumpur masih menawarkan pilihan buat golongan kelas menengah dengan kadar sewa serendah RM1,200 sebulan.

“Data menunjukkan dua daripada setiap lima penyewa pada separuh kedua 2025 membayar sewa antara RM3,000 hingga RM5,000. Ini membuktikan kawasan premium ini masih mampu milik jika penyewa bijak memilih lokasi,” katanya.

Analisis IQI juga mendapati perbezaan ketara mengikut poskod, di mana 50450 merupakan kawasan paling mahal dengan purata RM6,372, manakala poskod 55100 (sekitar Sunway Velocity) adalah yang terendah pada purata RM3,583.

Tambah Kashif, penyewa harus memahami bahawa angka purata yang tinggi sering dipengaruhi oleh sebilangan kecil transaksi hartanah ultra mewah.

“Realitinya, pasaran kini sudah melepasi kemuncak dan keadaan adalah lebih baik bagi penyewa. Dengan pengetahuan tentang perbezaan harga antara poskod, penyewa boleh menjimatkan ribuan ringgit setahun dengan memilih lokasi yang menawarkan kemudahan serupa pada harga lebih rendah,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×