PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan sebuah bot nelayan warga Vietnam yang bertindak agresif termasuk membuang peralatan menangkap ikan ke laut semasa cuba melarikan diri, Sabtu lalu.
Bot tersebut ditahan kira-kira 232 kilometer dari Muara Tok Bali di sini, selepas dikesan berada dalam keadaan mencurigakan di perairan negara ketika rondaan dijalankan di bawah Op Damai, Op Naga, Op Pelantar Merah dan Op Tiris 4.0.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, bot berkenaan cuba melarikan diri selain bertindak membuang tali, pukat dan tong ke laut untuk menghalang pihak berkuasa melakukan pemeriksaan.
Katanya, tekong bot juga enggan memberi kerjasama walaupun diarahkan berhenti namun kecekapan anggota operasi berjaya memintas dan menahan vesel berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati, seramai 12 awak-awak berusia dalam lingkungan 19 tahun hingga 60 tahun termasuk tekong berusia 42 tahun gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri dan surat kebenaran menangkap ikan di perairan negara.
“Bot tersebut dipercayai menggunakan nombor pendaftaran tempatan palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat APMM Kelantan di sini, hari ini.
Kamal berkata, pemeriksaan awal mendapati, bot itu disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan secara haram di perairan negara dalam tempoh dua hari tanpa kebenaran mengikut peruntukan undang-undang.
Katanya, pemeriksaan di dalam bot itu turut menjumpai kira-kira 500 kilogram hasil laut dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot, peralatan dan hasil tangkapan dianggarkan mencecah RM1.2 juta.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – UTUSAN










