Trump lanjutkan gencatan senjata, beri masa kepada Iran untuk rundingan

Trump lanjutkan gencatan senjata, beri masa kepada Iran untuk rundingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump melanjutkan gencatan senjata AS dengan Iran bagi memberi lebih masa untuk rundingan, hanya beberapa jam sebelum permusuhan dijangka bersambung semula.

Beliau bagaimanapun berikrar untuk mengekalkan sekatan ke atas pelabuhan Teheran.

Trump menangguhkan tempoh tamat gencatan senjata itu tanpa had, sambil menyatakan ia dibuat atas permintaan Pakistan sebagai pengantara serta menekankan keperluan memberi masa kepada kepimpinan Iran yang ‘berpecah’ untuk merangka cadangan.

Sebelum ini beliau memberi bayangan tidak akan melanjutkan gencatan senjata dan memberi amaran serangan pengeboman akan disambung semula apabila tempoh itu tamat.

“Saya telah mengarahkan pihak tentera kami untuk meneruskan sekatan dan, dalam semua aspek lain, kekal bersedia dan berupaya, dan oleh itu akan melanjutkan gencatan senjata sehingga cadangan Iran dikemukakan,” tulis Trump di media sosial.

Menjelang campur tangan saat akhir Trump, tidak jelas bila sebenarnya gencatan senjata asal akan tamat, dengan Pakistan menyatakan ia dijangka berakhir pada 2350 GMT Selasa.

Nasib rundingan damai yang dihoskan oleh Pakistan kini menjadi tanda tanya susulan pengumuman Trump itu.

Seorang pegawai Rumah Putih mengesahkan Naib Presiden, JD Vance tidak akan ke Pakistan untuk rundingan pada Selasa seperti yang dirancang sebelum ini, sementara menunggu cadangan daripada Iran.

“Sebarang perkembangan lanjut mengenai pertemuan secara bersemuka akan diumumkan oleh Rumah Putih,” kata pegawai tersebut.

Di Islamabad, pasukan polis dan tentera bersenjata lengkap mengawal kawasan pentadbiran kerajaan pada Selasa, yang hampir ditutup sepenuhnya walaupun tiada pertemuan Iran–AS dijadualkan.

Ketika tarikh akhir gencatan senjata semakin hampir, Iran terlebih dahulu memberi amaran akan menyerang kemudahan pengeluaran minyak negara jirannya di Teluk jika wilayah mereka digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Iran selepas gencatan senjata tamat.

“Negara jiran di selatan perlu sedar bahawa jika geografi dan kemudahan mereka digunakan untuk membantu musuh menyerang rakyat Iran, mereka harus mengucapkan selamat tinggal kepada pengeluaran minyak di Asia Barat,” kata komander angkatan aeroangkasa Pengawal Revolusi, Majid Mousavi, seperti dipetik agensi berita Fars.

Sejak pusingan pertama rundingan di Islamabad, Trump telah mengumumkan sekatan ke atas pelabuhan Iran, manakala Teheran sekali lagi menutup Selat Hormuz.

Jabatan Pertahanan AS pada Selasa berkata, tenteranya telah memintas dan menaiki sebuah kapal tanpa negara yang dikenakan sekatan sebagai sebahagian daripada usaha Washington mengekang rangkaian yang menyokong Iran.

Media mengenal pasti kapal tersebut mempunyai kaitan dengan aktiviti Iran. Kedua-dua pihak saling menuduh melanggar gencatan senjata.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×