Perang AS-Iran meletus semula? - Utusan Malaysia

Perang AS-Iran meletus semula?

PERANG Iran-AS mungkin akan meletus semula jika kedua-dua pihak tidak mengadakan rundingan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Iran bersiap sedia untuk kembali berperang selepas tempoh gencatan senjata tamat, dengan ketidakpastian menyelubungi rundingan yang dijangka disambung semula di Pakistan minggu ini.

Rumah Putih berkata, Naib Presiden, JD Vance bersedia untuk kembali ke Islamabad yang sedang membuat persiapan bagi pusingan kedua rundingan untuk menamatkan perang di Asia Barat yang menggoncang pasaran global.

Namun, kerajaan di Teheran enggan mengesahkan penyertaannya dan mendakwa AS melanggar gencatan senjata melalui sekatan ke atas pelabuhan Iran serta rampasan sebuah kapal.

Televisyen negara Iran pada Selasa melaporkan tiada delegasi Iran yang berlepas untuk rundingan dengan AS di Pakistan sambil menolak laporan yang menyatakan sebaliknya.

“Dengan mengenakan sekatan dan melanggar gencatan senjata, Trump mahu menjadikan meja rundingan ini sebagai meja menyerah kalah atau untuk membenarkan permusuhan baharu, mengikut kehendaknya.

“Kami tidak menerima rundingan di bawah bayangan ancaman dan dalam dua minggu terakhir kami telah bersedia untuk menunjukkan ‘kad baharu’ di medan perang,” kata Speaker Parlimen Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf di platform X.

Rundingan pertama selama dua hari yang dianjurkan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif pada 11 dan 12 April lalu di Islamabad gagal mencapai sebarang keputusan.

Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut memberi amaran akan menyasarkan mana-mana kapal yang cuba melalui Selat Hormuz tanpa kebenaran.

GENCATAN SENJATA

Trump pula menuduh Teheran melanggar gencatan senjata dengan mengganggu kapal di selat strategik itu, yang merupakan laluan bagi kira-kira satu perlima minyak dunia dan hampir ditutup oleh Iran sebagai tindak balas terhadap perang yang dilancarkan oleh AS dan Israel pada 28 Februari.

Laluan itu biasanya menyaksikan sekitar 120 perjalanan kapal setiap hari dalam keadaan aman, menurut laman risikan industri perkapalan Lloyd’s List. Laman itu melaporkan pada Selasa, lebih 20 kapal ‘bayangan’ Iran melalui sekatan AS.

Trump menyatakan dalam satu siri hantaran di platform Truth Social miliknya, sekatan itu benar-benar melumpuhkan Iran dan tidak akan ditamatkan sehingga ada satu perjanjian, di mana AS mendesak Iran membuat konsesi terhadap program nuklearnya yang menjadi pertikaian.

RUNDINGAN KABUR

Trump memberitahu PBS News,  Iran sepatutnya berada di Islamabad dalam rundingan di Pakistan.

“Kami telah bersetuju untuk berada di sana. Jika gencatan senjata tamat, banyak bom akan mula meletup,” katanya.

Trump bagaimanapun memberitahu Bloomberg News beliau kemungkinan tidak akan melanjutkan gencatan senjata dua minggu itu.

Gencatan senjata itu bermula  pada 8 April lalu dan akan tamat pada 22 April. Trump dalam kenyataannya kepada Bloomberg berkata ia berakhir pada malam Rabu mengikut waktu Washington.

Semasa gencatan senjata itu, AS bertindak menyerang kapal Iran dan merampasnya sebelum dron Teheran menyerang beberapa kapal di Teluk Oman kerana sekatan AS.

Harga minyak jatuh pada Selasa manakala kebanyakan saham meningkat berikutan harapan berterusan terhadap kemungkinan perjanjian untuk menamatkan perang dan membuka semula Selat Hormuz.

NORMAL

Walaupun sebahagian keadaan normal kembali ke Teheran sepanjang tempoh gencatan senjata, penduduk bandar yang ditemu bual wartawan AFP di Paris berkata, keadaan masih jauh daripada situasi selamat.

“Kita lihat apa yang akan berlaku,” kata seorang doktor berusia 30 tahun yang enggan dikenali.

Seorang penduduk, Saghar, 39, berkata, rakyat Iran mempunyai sedikit harapan kerana tertekan oleh kerajaan dan kesan perang, sambil menambah ekonomi di negara itu kini sangat teruk.

Satu lagi isu utama dalam rundingan AS–Iran ialah simpanan uranium diperkaya oleh Teheran.

Trump yang sebelum ini mendakwa Iran bersetuju menyerahkan uranium tersebut berkata pada lewat Isnin, proses itu akan menjadi panjang dan sukar selepas serangan AS ke atas tapak nuklear Teheran tahun lalu.

“Operasi Midnight Hammer (Hentaman Tengah Malam) merupakan pemusnahan sepenuhnya terhadap tapak ‘debu nuklear’ di Iran. Oleh itu, usaha mengeluarkannya akan menjadi proses yang panjang dan sukar,” tulis Trump di Truth Social.

Kementerian Luar Iran sebelum ini menegaskan simpanan itu tidak akan dipindahkan ke mana-mana dan pilihan tersebut tidak pernah dibangkitkan dalam rundingan dengan wakil AS.

KIni timbul persoalan sama ada perang akan disambung semula selepas gencatan senjata berakhir.

Dalam  perang itu, lebih 3,400 nyawa di Iran yang terbunuh akibat perang tersebut. Menurut Al Jazeera, seramai 26 orang di Israel dan 13 askar AS manakala 28 lagi di Teluk turut terkorban dalam perang itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×