PETALING JAYA: Postal Forum, sebuah badan kawal selia kendiri yang dilantik oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), hari ini menganjurkan Dialog Keselamatan dan Sekuriti Industri Pos.
Dialog ini merupakan inisiatif pertama seumpamanya yang bertujuan untuk memperkukuh kesedaran tentang perundangan, mempertingkat piawaian industri dan memperkasa akauntabiliti operasi dalam kalangan penyedia perkhidmatan pos.
Sebagai badan kawal selia kendiri, Postal Forum memainkan peranan penting dalam menggalakkan penerimagunaan kod industri secara sukarela, menegakkan standard yang tinggi serta memelihara kepentingan pengguna, dengan MCMC berperanan sebagai badan kawal selia yang melantik di bawah Seksyen 49 dan 50 Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741).
Dalam kerangka ini, Postal Forum melengkapi fungsi pengawalseliaan MCMC dengan memupuk budaya tadbir urus kendiri dalam kalangan pemain industri, sekali gus memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan didukung sebagai suatu nilai bersama dan bukan sekadar obligasi penguatkuasaan semata-mata.
Dialog ini menghimpunkan beberapa badan kawal selia utama, Kementerian, agensi Kerajaan serta pemegang lesen dalam satu platform bersepadu bagi menangani cabaran keselamatan, sekuriti dan keperluan perundangan dalam industri.
Inisiatif ini mencerminkan pendekatan yang proaktif dalam memperkukuh kesiapsiagaan industri, seiring dengan perkembangan pesat e-dagang yang terus melonjakkan jumlah bungkusan melebihi 1.5 bilion pada tahun lalu, sekaligus meningkatkan keperluan terhadap tahap integriti operasi, kecekapan pengurusan risiko serta perlindungan pengguna.
Peningkatan ini juga menyaksikan risiko-risiko baharu termasuk penyalahgunaan saluran kurier bagi aktiviti pengedaran dadah dan penyeludupan hidupan liar, penghantaran barangan berbahaya serta isu keselamatan pekerja kurier. Keadaan ini menuntut pendekatan yang lebih bersepadu, menunjukkan kerelevanan dan pentingnya inisiatif ini.
“Industri pos dan kurier merupakan antara pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi negara. Peranan Postal Forum adalah untuk merapatkan jurang antara peraturan dan pelaksanaan, dengan mendidik pemain industri yang tidak hanya memahami tanggungjawab mereka tetapi mampu untuk melaksanakannya secara sukarela demi kepentingan pengguna serta negara,” kata Ketua Postal Forum, Nurhafizah Hanifah,.
Dialog ini turut menyaksikan penyertaan aktif daripada agensi utama termasuk MCMC, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO). Perbincangan dalam dialog tersebut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh pematuhan terhadap undang-undang sedia ada dan mempertingkat amalan keselamatan operasi.
Sesi ini juga membuka ruang kepada perbincangan yang konstruktif antara pihak badan kawal selia dan pemain industri sekali gus memperkukuh komitmen bersama ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih selamat dan terjamin.
Seramai 30 peserta telah menyertai sesi ini, mencerminkan komitmen padu pemain industri dalam mempertingkat standard serta memastikan penyampaian perkhidmatan yang selamat, terjamin dan boleh dipercayai kepada pengguna.
Para peserta mendapat kefahaman yang mendalam terhadap piawaian kawal selia melibatkan aspek keselamatan pekerja, tatacara pengendalian bungkusan dan perlindungan data pelanggan yang menjadi tunjang kepada keyakinan masyarakat serta mutu perkhidmatan yang unggul.
Postal Forum menegaskan bahawa tuntutan kawal selia bukan satu bebanan, tetapi merupakan kerangka asas yang menjamin kewibawaan industri, melindungi hak pengguna, serta memacu kelestarian masa hadapan. Seiring dengan itu, semua penyedia perkhidmatan pos diseru untuk terus mempergiat usaha melalui penyertaan dalam program Malaysia Courier Safety Passport Training (MyCSP).
Program latihan berstruktur ini dirangka bagi memperkasakan pekerja kurier dengan kemahiran penting seperti kesedaran Risiko, pematuhan keselamatan jalan raya, amalan ergonomik serta etika profesional bagi melahirkan tenaga kerja yang berdisiplin, mementingkan keselamatan dan kompeten.
Di samping itu, Postal Forum akan terus memperkukuh momentum ini melalui pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi, kerjasama strategik yang lebih meluas serta program pembangunan kapasiti yang bersasar serta dialog berterusan dengan pihak berkepentingan bagi menangani risiko yang dinamik dan keperluan perundangan.
Postal Forum juga akan kekal komited untuk membangunkan sebuah ekosistem industri pos dan kurier yang selamat, terjamin, berteraskan kawal selia kendiri dan dipercayai oleh seluruh rakyat Malaysia. – UTUSAN
Memuatkan artikel berkaitan…











