PETALING JAYA: Petronas dan Kerajaan Negeri Terengganu memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi meneroka peluang pembangunan Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi (NbS) di negeri berkenaan.
Kerjasama melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu itu bertujuan mengenal pasti dan menilai tapak berpotensi bagi projek karbon semula jadi yang memenuhi piawaian pensijilan antarabangsa.
Menerusi inisiatif ini, kedua-dua pihak menyasarkan penjanaan kredit karbon berkualiti tinggi yang bukan sahaja menyokong pemuliharaan alam sekitar, malah memberi manfaat ketara kepada komuniti setempat.
Ketua Pengurus Besar Kanan Alam Semula Jadi, Kelestarian Korporat Petronas, Giulia Sartori berkata, kerjasama itu membina kekuatan kehadiran Petronas yang sudah lama di Terengganu untuk memajukan inisiatif positif iklim.
“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Terengganu dalam mengukuhkan daya tahan iklim, meningkatkan biodiversiti dan memberikan manfaat bermakna kepada rakyat. Usaha ini juga selari dengan cita-cita iklim Malaysia secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, Terengganu dikurniakan ekosistem semula jadi yang pelbagai dan mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada mitigasi perubahan iklim.
“Melalui kolaborasi ini, kami menyasarkan untuk menyumbang kepada usaha negara mengurangkan pelepasan karbon, di samping memastikan pemuliharaan alam sekitar membawa manfaat berpanjangan kepada penduduk Terengganu,” katanya.
NbS merangkumi tindakan mengurangkan dan menyingkirkan pelepasan gas rumah hijau melalui pemuliharaan, perlindungan serta pengurusan lestari ekosistem semula jadi.
Kredit karbon yang dijana melalui NbS adalah penting bagi Petronas dalam menangani pelepasan sisa yang sukar dikurangkan, sekali gus melengkapkan Hala Tuju Pelepasan Karbon Bersih Sifar menjelang 2050.
Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan oleh Pengurus Besar Pusat Kecemerlangan dan Penyelesaian Alam Semula Jadi Petronas, Ezrin Johanna Elias serta Pengarah UPEN Terengganu, Datuk Rosli Latif. – UTUSAN










