GEORGE TOWN : Pulau Pinang dijangka membincangkan semula mengenai pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam negeri dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) negeri esok.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, oleh itu, sebarang ketetapan mengenai pelaksanaan dasar tersebut termasuk anggaran jumlah penjawat awam yang mungkin terlibat hanya akan diputuskan selepas mesyuarat berkenaan selesai.
“Belum ada keputusan. Minggu lepas tiada mesyuarat. Jadi, esok kita sambung perbincangan (mengenai BDR),” katanya selepas majlis pelancaran program BE Associate oleh Penang Convention & Exhibition Bureau (PCEB) di sini, hari ini.
Sejak 15 April lalu, kira-kira 200,000 penjawat awam Persekutuan yang berada di Lembah Kelang dilaporkan telah mula melaksanakan dasar BDR berikutan krisis tenaga global yang berlaku ketika ini.
Buat permulaan, pelaksanaan itu melibatkan kawasan Lembah Klang serta semua ibu negeri, terutamanya bagi mereka yang menetap lebih 8 kilometer (km) dari pejabat, manakala sektor kesihatan dan keselamatan pula dikecualikan buat masa ini.
Sementara itu, Kon Yeow berkata, sebarang keputusan yang dibuat kelak akan mengambil kira keperluan semasa serta pandangan pihak berkaitan bagi memastikan kelancaran pentadbiran negeri tidak terjejas.
Awal bulan ini, kerajaan negeri bersetuju untuk tidak melaksanakan dasar BDR kerana mendakwa tidak ada sebarang keperluan yang mendesak untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, pihaknya bersedia mempertimbangkan semula kaedah kerja yang sesuai untuk dilaksanakan berdasarkan keperluan dari semasa ke semasa.-UTUSAN











