TAHUN 2026 menyaksikan dunia semakin terperangkap dalam ketidaktentuan geopolitik yang rencam dan rapuh. Konflik yang berpanjangan serta persaingan kuasa besar menjadikan landskap antarabangsa semakin kompleks.
Bagi Malaysia, penglibatan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 bukan lagi sekadar bantuan kemanusiaan, tetapi menjadi satu pernyataan politik yang menghantar seribu makna. Ia adalah manifestasi keberanian negara.
Namun lebih daripada itu, ia juga adalah ujian kepada kebijaksanaan strategik negara. Persoalan yang hangat di media sosial, adakah ini sebuah misi kemanusiaan atau alat politik?

Jambatan atau Jurang Perpecahan?
Malaysia dikenali sebagai middle power yang memiliki keupayaan mempengaruhi norma global melalui diplomasi dan kuasa lunak. Misi Sumud Nusantara 2026 adalah ujian sebenar kepada kedudukan ini.
Malaysia tidak lagi boleh berpuas hati dengan pendekatan simbolik semata-mata. Penglibatan dalam misi yang mencabar sekatan merupakan satu bentuk diplomasi asimetri yang menggunakan legitimasi moral untuk mencabar struktur kuasa global.
Namun, keberanian ini menuntut disiplin strategik agar misi ini tidak bergerak secara berasingan daripada kerangka dasar luar negara yang jelas.
Salah satu cabaran besar yang perlu didepani ialah persepsi bahawa misi ini seolah-olah hanya didominasi atau diperjuangkan oleh satu kaum sahaja. Tanggapan bahawa ini adalah “isu Melayu-Muslim” semata-mata adalah satu kerugian strategik yang besar.
Kemanusiaan tidak mempunyai warna kulit atau batasan etnik. Apabila penglibatan dilihat bersifat sektarian, kita sebenarnya mengecilkan impak moral yang sepatutnya menjadi suara kolektif seluruh rakyat Malaysia.
Walaupun sedikit sebanyak ada kebenarannya tetapi keberkesanan kita sebagai negara berdaulat bergantung kepada keupayaan mempamerkan solidariti nasional yang rentas kaum.
Isu kemanusiaan seharusnya menjadi titik penyatu rakyat Malaysia, bukannya punca polarisasi baharu. Kita perlu menggembleng kepakaran doktor, jurutera, pelaut dan aktivis daripada pelbagai latar belakang etnik.
Melalui penglibatan yang inklusif, kita menghantar mesej jelas kepada dunia bahawa perjuangan ini adalah atas dasar prinsip keadilan sejagat dan Malaysia berdiri sebagai sebuah bangsa yang padu.
Jawapan kepada sama ada ini “alat politik”; bergantung kepada keupayaan kita menjadikannya jambatan yang menghubungkan semula keretakan sosial kita, bukannya baji yang memisahkan.
Melangkaui Emosi
Sebagai sebuah negara, setiap tindakan tidak boleh bersifat reaktif semata-mata, apatah lagi dipacu oleh gelombang emosi yang dihangatkan oleh media sosial tanpa arah yang jelas.
Sebuah negara berfungsi dalam kerangka strategik di mana setiap langkah mesti dirujuk kepada matlamat besar yang ingin dicapai, bukan sekadar respons spontan terhadap tekanan semasa.
Dalam era ini, risiko terbesar ialah apabila dasar dan tindakan negara mula dipengaruhi oleh sentimen jangka pendek yang tidak berstruktur dan tidak melalui pertimbangan institusi. Ini bukan sahaja melemahkan konsistensi dasar, malah menghakis kredibiliti negara di mata antarabangsa.
Tindakan yang berkesan bukanlah yang paling pantas, tetapi yang paling tepat disandarkan pada analisis, koordinasi dan kejelasan arah. Tanpa ini, kita bukan sahaja berisiko tersasar daripada objektif sebenar, malah boleh terperangkap dalam kitaran reaksi tanpa strategi.
Negara tidak boleh membenarkan suara-suara partisan membingkai misi ini mengikut naratif sempit masing-masing.
Agenda kemanusiaan global tidak boleh direndahkan menjadi alat persaingan politik domestik atau pentas individu mengejar populariti melalui kenyataan sensasi yang tidak berteraskan realiti strategik.
Konsep izzah (kemuliaan) dalam Islam sentiasa terikat dengan hikmah (kebijaksanaan).
Kepemimpinan yang matang berasaskan kefahaman realiti (fiqh al-waqi’), yang menuntut analisis mendalam terhadap risiko, keupayaan, dan implikasi jangka panjang. Kejayaan misi tidak boleh diukur secara simplistik.
Ia bukan sekadar soal sampai atau tidak ke destinasi, tetapi sejauh mana ia berjaya membina tekanan politik yang berterusan.
Kita harus menolak kecenderungan menjadikan isu ini sebagai alat mobilisasi emosi jangka pendek yang hanya memberi kepuasan segera tanpa membawa perubahan berkekalan.
Masa Depan
Dimensi geoekonomi juga tidak boleh diketepikan dalam misi sebesar ini. Setiap sumber yang digerakkan adalah amanah rakyat, daripada tabung sekolah hingga ke sumbangan korporat. Misi maritim berskala besar menuntut perbelanjaan signifikan dan risiko tinggi.
Justeru, prinsip ketelusan dan akauntabiliti tidak boleh dikompromi sama sekali. Kita memerlukan audit kemanusiaan yang jelas bagi memastikan setiap sumbangan benar-benar sampai kepada sasaran.
Perbincangan yang jujur tentang kos dan keutamaan nasional adalah sebahagian daripada semangat musyawarah, bukan sesuatu yang perlu ditutup atau dipolitikkan secara negatif.
Realiti dunia hari ini tidak menilai sesuatu bangsa berdasarkan keghairahan retorik, tetapi berdasarkan keupayaan pelaksanaan yang berkesan. Misi ini harus menjadi medan transformasi negara daripada bangsa Malaysia yang dilihat reaktif kepada bangsa yang teguh berkeupayaan.
Keupayaan ini pula diukur melalui profesionalisme dalam pengurusan dana, kecekapan logistik, serta ketelitian strategi operasi. Jika kita gagal mempamerkan ketelusan dan kompetensi, maka kita bukan sahaja gagal membantu, malah turut mencemarkan maruah negara.
Semangat musyawarah menuntut kita menilai secara kolektif, bukan bersorak secara membuta tuli, tetapi memastikan setiap langkah berlandaskan keupayaan sebenar.
Sumud Nusantara 2026 adalah cerminan kematangan kita sebagai sebuah negara. Kita tidak boleh membiarkan agenda ini dicemari oleh kenyataan tidak bertanggungjawab yang melihatnya sebagai peluang meraih keuntungan politik jangka pendek.
Jika Malaysia memilih untuk terlibat, maka penglibatan itu mesti bersifat menyeluruh, berdisiplin dan inklusif.
Kita tidak boleh lagi berpuas hati dengan keberanian yang tidak diiringi kebijaksanaan. Sudah tiba masanya kita memimpin dengan akal budi, memandu dengan ilmu dan bertindak dengan penuh tanggungjawab.
Kerana pada akhirnya, sejarah tidak akan menilai siapa yang paling lantang bersuara, tetapi siapa yang paling bijaksana dalam memelihara agenda besar umat dan negara.
Sebagai pendekatan strategik, musyawarah bukan sekadar ruang berbincang, ia adalah benteng terakhir yang menghalang emosi daripada menghanguskan strategi.
Hanya melalui musyawarah yang jujur, isu kemanusiaan ini akan menjadi simen yang menyatukan dinding-dinding perpecahan kita, bukannya baji yang membesarkan lagi retakan nasional.
Berhentilah bersorak mengikut rentak politik sempit, mulalah berfikir mengikut denyut nadi sebuah bangsa yang berdaulat. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengerusi Teras Politik, Musyawarah Nasional dan Felo Pelawat, Institut Pengajian Asia, Afrika dan Timur Tengah, Universiti Sophia, Tokyo, Jepun.










