Bekas pemain bola kebangsaan, kini pengusaha harumanis

Bekas pemain bola kebangsaan, kini pengusaha harumanis

AZMIZI Azmi (kiri) bersama Mohammad Abdul Hamid (kanan) menunjukkan buah Harumanis yang dikutip di kebun mereka di Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEKAS pemain pertahanan kebangsaan dan Perlis, Azmizi Azmi, 40, atau lebih dikenali sebagai Tibo kini bergiat aktif dalam bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman mempelam harumanis sejak beberapa tahun lalu. 

Anak jati kelahiran Perlis itu mengusahakan tanaman berkenaan bersama rakannya, Mohammad Abdul Hamid, 40, selepas menamatkan karier profesional dalam arena bola sepak tempatan. 

Azmizi memulakan perjalanan dalam arena bola sepak menerusi pasukan remaja Perlis sebelum mendapat peluang beraksi bersama skuad senior pada 2007. 

Beliau turut beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA Malaysia 2007 bersama Perlis dan kemudian menjadi kapten pasukan sehingga musim liga 2011.

Selain Perlis dan Kedah, Azmizi juga pernah beraksi bersama pasukan Felda United (2013), Perak (2015) dan PKNS (2017-2018).

Azmizi berkata, selepas menamatkan karier profesional, dia bersama rakannya itu menguruskan sebanyak 200 pokok harumanis yang diusahakan di atas sebidang tanah kebun di Lorong Hutan Ketiau 2, Sungai Batu Pahat, Perlis.

“Sebelum saya bersara, saya memang menjadikan jualan mempelam harumanis ini sebagai pendapatan tambahan saya dengan mengambil tempahan daripada kenalan terdekat. 

“Selepas tidak lagi aktif dalam bola sepak, saya mula terlibat secara serius dalam bidang pertanian ini bagi menguruskan tanaman harumanis,” katanya ketika ditemui di kebunnya, di sini, baru-baru ini. 

Azmizi berkata, sambutan yang diterima menerusi jualan buah itu pada tahun ini agak memberangsangkan apabila mereka telah berjaya memasarkan sebanyak kira-kira lebih tiga tan harumanis setakat ini. 

Katanya, mereka juga memasarkan buah harumanis tersebut mengikut gred dan berat yang bersesuaian bagi memberi kepuasan kepada pelanggan.

“Kami hanya jual buah gred premium, A dan B sahaja, manakala buah gred C kami pilih untuk tidak pasarkan bagi menjaga kualiti kepada pelanggan. 

“Buah yang ditempah itu juga akan dipos ke seluruh Malaysia mengikut permintaan daripada pelanggan kami malah hasil jualan kini juga telah mencecah ratusan ribu ringgit,” katanya. 

Selain memasarkan buah berkenaan, Azmizi berkata, mereka turut menerima tempahan daripada pelanggan yang ingin menikmati buah berkenaan secara terus di kebun berkenaan. 

Katanya, pelanggan juga disaran membuat tempahan terlebih dahulu sekiranya ingin berkunjung ke kebun mereka bagi membolehkan pihaknya membuat persediaan buah dan sebagainya. 

“Kebun kami kerap dikunjungi pelbagai pihak setiap kali tibanya musim harumanis malah pernah juga satu ketika, kami menerima lawatan agensi bersama beberapa buah bas yang datang untuk menikmati buah di sini,” katanya. 

Sementara itu, Mohammad berkata, penjagaan buah Harumanis adalah sangat teliti dengan mengambil masa sepanjang tahun bagi memastikan penghasilan buah yang berkualiti dan premium. 

Katanya, pada peringkat awal, baja perlu diletakkan selepas proses pemangkasan bagi meremajakan dahan supaya dapat menghasilkan bunga dan buah baharu. 

“Kita juga menyelenggara pokok ini bagi menjadikannya rendah agar mudah untuk menjalankan proses meracun dan membaja,” katanya. 

Katanya, penjagaan harumanis juga tidak sama dengan mangga-mangga lain memandangkan ia lebih bersifat manja dan memerlukan pemantauan secara berkala. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×