Rugi lebih RM25,000 akibat klik pautan jual harumanis

Rugi lebih RM25,000 akibat klik pautan jual harumanis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga berusia 53 tahun kerugian RM25,280 selepas menjadi mangsa penipuan jual beli mangga harumanis yang dipromosikan menerusi media sosial.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang  pada 18 April lalu ketika mangsa berada di Marang, dekat sini selepas tertarik dengan satu iklan jualan buah tersebut di Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Nor berkata,  mangsa kemudian berhubung dengan individu yang dipercayai penjual sebelum menerima satu pautan melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa kemudian menekan pautan tersebut yang mengandungi kod QR dan mengimbasnya menggunakan telefon bimbit. Selepas itu, telefon mangsa didapati tidak berfungsi selama kira-kira 20 minit sebelum dia menyedari kemungkinan menjadi mangsa penipuan,” katanya di sini hari ini.

Mangsa seterusnya menghubungi pihak bank dan dimaklumkan terdapat tiga transaksi pengeluaran wang tanpa kebenaran daripada akaunnya. Jumlah pengeluaran tersebut masing-masing sebanyak RM8,264, RM8,642 dan RM8,374, menjadikan keseluruhan kerugian RM25,280.

Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis pada pukul 7.41 malam hari sama bagi tujuan siasatan lanjut serta rujukan kepada pihak bank. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan siasatan masih diteruskan oleh  polis. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×