Bulan terang memanjat kanvas kelam langit. Sinarnya menjernihkan hitam menjadi biru gelap. Malam ini, tubuhnya penuh. Dilatari gemintang, Sang Rembulan terlihat jelita malam itu.
Namun mata Imam Rais tidak menengadah ke langit sebaliknya membumi ke tanah. Melihat pekarangan masjid yang kian sesak dengan kereta semasa Ramadan. Sebutkan sahaja daripada jenama apa, daripada import hingga jenama kebangsaan. Daripada mahal hingga mampu milik. Kata orang, kereta melambangkan kedudukan dan kekayaan. Kekayaan sebenar adalah apabila memiliki sebuah kereta berjenama luar negara berharga tinggi.
Matanya mengitar kepada semua kekayaan itu. Tidak sedikit pun terusik dirinya yang hanya menunggang sebuah motosikal lama. Malah, dia gembira melihat kereta-kereta mewah dan mahal ini berdatangan ke masjid. Bersesak-sesak mencari ruang kosong di pekarangan yang tidak terlalu luas. Malah ada yang sanggup mengabaikan harga mahal keretanya dan membiarkan ia duduk di siring jalan raya.
Hanya di sini, di tanah yang tidak terlalu luas ini, kekayaan berhenti menapak. Segala jenis kekayaan, kereta, motosikal, dompet tebal, pakaian berjenama, kasut kulit kuda, semuanya berhenti menapak ke dalam masjid. Ruang ini cukup sakral sehingga manusia paling kaya, perlu melupakan segala yang dimiliki. Hanya masuk dengan sepersalinan kain pelekat dan baju melayu. Malah telefon bimbit yang dibayar dengan harga tinggi, tidak langsung boleh berdecit di dalam ruang ini. Semuanya sama tanpa mengira pangkat
dan harta.
“Tak. Mahmud tak mungkin betul. Apa yang Mahmud fikirkan tidak mungkin terjadi,” gumam Imam Rais sendiri.
Patah perkataan yang keluar daripada dua ulas bibir Bilal Mahmud seakan muncul di gegendang telinganya. Imam Rais geleng kepala laju. Hatinya membantah dan menghalau segala keraguan. Nafas berat terlepas dari kerongkongnya.
Nostalgia lama yang dilalui ketika kecil berdatangan di tubir mata. Dia lihat tubuh kecilnya membonceng ayahnya yang menunggang basikal tua. Setiap kayuhan pasti akan terdengar keriut keluh basikal tua itu yang karat segala bahagian. Rantainya, rodanya, tempat duduknya, pemegangnya dan segala bahagian lain. Pada hari-hari tertentu basikal tua itu akan meragam sehingga mereka tidak boleh ke masjid. Entah tayarnya bocor terpijak duri atau kerikil tajam, entah rantainya terlucut atau terputus terus atau pernah juga tempat duduk belakang yang diperbuat daripada besi itu punah. Tempat duduk itu memang sudah repas. Sudah dimamah karat sejak lama. Hanya menanti masa untuk luluh daripada basikal itu sahaja.
Namun walaupun tanpa basikal, ayahnya akan tetap juga mengajak ke masjid meski mereka perlu menapak. Memang ada jalan pintas ke masjid tapi jalannya penuh semak samun. Melalui denai halus yang saban hari kian dipadam rumput dan daun gugur.
“Ini bukan tentang kenderaan tapi tentang tahap iman kita. Kalau hanya kerana tiada basikal kita sudah tidak mahu ke masjid, macam mana kita mahu menghadap Ilahi kelak?” Terang ayahnya.
Hidup getir zaman dahulu sering sahaja berdatangan mengetuk benak ketika hatinya sedang gelisah. Kalau zaman dahulu boleh, pasti sekarang akan lebih baik, fikir Imam Rais.
Tidak lama kemudian, lelaki tua itu menapak perlahan ke ruang solat. Demi melihatkan Imam Rais, Bilal Mahmud terus ke hadapan dan melaung iqamat.
Saf berbaris tanpa prejudis, tanpa peduli siapa pun yang mendirikannya.
Imam Rais mengangkat takbir
***
“Saya hanya risau orang tidak ke masjid saja, mam,” suara Bilal Mahmud seakan masih boleh didengar Imam Rais.
Sudah hampir setengah jam Imam Rais berguling di atas katil. Kadang badannya akan berpaling ke kanan. Sebentar kemudian menghadap ke kiri pula di mana isterinya sedang lena. Walau macam mana pun ditukar posisi, lelaki itu tetap tidak boleh tidur.
Dia ingat lagi raut Bilal Mahmud yang resah ketika mereka di masjid selepas berbuka puasa. Dahi sahabatnya itu berkerut menjelaskan lagi kedut-kedut usia yang terlukis pada wajah. Melihatkan kegusaran itu Bilal Mahmud, terus sahaja dia bertanya mengapa.
Bilal Mahmud tidak segan silu. Kegelisahan yang mengganggu benaknya diceritakan terus kepada lelaki itu. Dikongsilah perkara yang bermain di benaknya. Tentang ekonomi yang kian mencanak naik dalam keadaan perang yang kian memuncak. Harga petrol dan gas kian tinggi. Tidak lama lagi, pasti negara ini akan menerima impaknya apabila subsidi tidak lagi mampu menampung keperluan rakyat. Pasti harga minyak akan turut menerima lonjakan.
Dengan meningkatnya harga bahan bakar, pasti harga barangan juga akan meningkat. Mungkin jika keadaan memburuk, orang akan semakin berkurang menggunakan kenderaan melainkan untuk urusan-urusan penting sahaja. Memilih untuk duduk di rumah dan menjaga bajet bagi kenderaan.
Ada kemungkinan kelak, akan semakin berkuranglah kereta di masjid ini. Pekarangan masjid pasti akan lengang. Semakin berkurang jugalah jemaah yang hadir untuk beribadat. Itu belum diambil kira dermawan yang akan kian lokek mendermakan duit.
Pendapatan masjid yang banyak bergantung kepada sedekah itu bakal susut lagi. Semakin susahlah untuk diadakan program bagi menggalakkan jemaah ke masjid.
Imam Rais pejam mata kejap-kejap tapi kantuk tidak juga bertandang. Unggas kegusaran yang bersarang di hati Bilal Mahmud turut membina penempatan di benaknya. Di atas katil, Imam Rais terlentang baring. Meski lampu kamar sudah lama ditutup, dan dengkur halus isteri di samping sudah kedengaran sejak tadi, matanya tidak juga mahu lelap. Terus menerus menatap siling yang pegun. Merenung kipas yang rancak berpusar.
“Perang ini untuk agama,” getus hati Imam Rais memujuk diri.
Dia percaya perang ini bukan kerana ekonomi sahaja sebaliknya untuk kemaslahatan agama. Orang-orang di sana melawan demi melindungi akidah mereka dan menuntut hak saudara-saudara Islam di Gaza.
Walaupun wajah perang itu hodoh penuh berkudis, bukankah perang itu untuk agamanya juga? Dan bukankah bagi umat Islam, perang turut terjadi dalam diri manusia sehari-hari? Perang antara nafsu dan iman. Perang melawan kemiskinan bersenjatakan keringat dan kerja keras. Perang melawan ekonomi yang kian melarat.
Mereka di sana, melawan dengan darah. Imam Rais dan jemaah di sini pula melawan dengan hati dan kesabaran. Pasti tiada masalah untuk mereka menang dalam perang batini ini.
Secebis keyakinan menyala dalam hati Imam Rais menghalau unggas kegusaran itu. Hatinya perlahan-lahan tenang. Matanya pula kian berat. Nasihat yang diberikan kepada Bilal Mahmud tadi terngiang-ngiang:
“Kita cuma boleh doakan umat Islam menang sahaja. Di sana menang dalam perjuangan mereka. Di sini, menang dengan iman masing-masing.”
Mereka tidak mungkin kalah dengan ekonomi. Pekarangan masjid itu pasti akan penuh juga nanti walaupun selepas Ramadan, walau ketika itu harga minyak sudah mencanak. Ruang parkir yang kelam itu pasti akan cerah juga dengan cahaya lampu daripada kereta-kereta. Ruang motosikal yang tidak kurang luas itu juga pasti akan sesak dengan motosikal.
Kalau memang kelak berkurang kereta dek kian banyak yang semput mencari nyawa daripada harga minyak yang mahal, Imam Rais akan tetap mengimarahkan masjid itu juga. Biarlah pekarangan itu kosong pun. Di tempat letak motor ada pasti akan ada motosikal cabuknya yang bernafas semput itu. Bilal Mahmud pasti akan ada juga dengan kereta Kancil lamanya itu. Dan kalau benar Kancilnya juga sudah patah kaki, Imam Rais yakin Bilal Mahmud akan datang juga meski perlu mengayuh basikal anaknya.
Dia tahu di rumah Bilal Mahmud itu memang terdapat dua basikal yang sering digunakan anaknya. Kaki lelaki itu pasti akan gagah mengayuh basikal. Dan andai benar kudratnya sudah lelah, pasti paling tidak iman Bilal Mahmud akan meneruskan kayuhan.
Kalau benar memang mereka berdua saja di masjid besar itu, Imam Rais berserah. Fardu kifayah itu akan ditegak walaupun oleh mereka berdua sahaja. Azan akan berkumandang dengan kuat menawan segala resah gelisah di hati manusia.
Mata Imam Rais kian kuyu. Putaran kipas semakin berbalam. Siling di atas, sedikit demi sedikit ditelan gelap. Perlahan-lahan alam tidur ditempuh. Tidak lama lena Imam Rais kerana pagi itu dia terjaga awal lantas mendirikan malam dengan tahajud.
***
Imam Rais tegak di tubir anjung masjid. Tangannya menggenggam penghadang yang menandakan batas suci. Bulan di langit malu-malu menampakkan diri. Bulan sabit hujung bulan Syawal. Beberapa minggu lalu, umat Islam selesai meraikan kemenangan.
Meraikan kembalinya manusia kepada fitrah. Seakan takbir hari raya itu masih bergema di gegendang Imam Rais.
Pagi solat sunat hari raya itu, kereta melimpah hingga ke simpang masjid. Ruang solat menjadi sesak dengan manusia bertakbir.
Dua minggu selepas itu juga orang ramai datang untuk sambutan hari raya. Solat jemaah isya’ penuh dengan baris manusia. Malah, ruang solat wanita yang jarang sekali penuh itu pun sarat sehingga saf paling belakang. Sempat juga Imam Rais menasihat
selepas solat jemaah, supaya orang ramai terus memeriahkan masjid meskipun Ramadan sudah tuntas dan harga minyak kian mencanak.
“Datanglah walau tidak lagi dengan kereta. Berjalanlah mana yang dekat. Yang jauh, naiklah motosikal atau apa sahaja kenderaan,” pesan Imam Rais.
Namun sejak hari itu, memang jumlahnya berkurang dengan ketara.
Malam ini, matanya tidak mendongak ke langit yang disinari gemintang meskipun jutaan susunannya terus melukis keindahan malam. Sebaliknya, Imam Rais terus-terus melihat ke pekarangan masjid yang hanya ditempati dua buah kereta. Di kejauhan, ada pula motosikal cabuknya.
Hati lelaki itu berkecamuk. Semalam, pengumuman pengurangan subsidi harga minyak telah diwartakan. Ada resah terus membusung dalam hatinya. Ekonomi kian mencuram dan perang masih belum melihatkan cebis sinar penamat. Imam Rais tarik nafas cuba meredakan segala gelisah di hati.
Azan Isyak sudah berkumandang beberapa minit tadi. Dia masih menunggu kedatangan para jemaah. Hanya dia, Bilal Mahmud dan dua orang jemaah sahaja yang beriktikaf di perut masjid.
Imam Rais terus menunggu. Seminit, dua minit, tiga minit. Senggang antara azan dan iqamat sudah menjangkau hampir lima belas minit. Mahu tidak mahu, Bilal Mahmud perlu melaungkan iqamat. Tak mengapalah, yang penting fardu kifayah di penempatan mereka sudah tertegak dengan beberapa orang ini.
Dengan berat, Imam Rais berpaling mahu masuk ke ruang solat. Waktu berpaling itulah dia mendengar derum motosikal, suara kanak-kanak, gemerincing rantai basikal dan geser tayar kereta pada permukaan tar.
Imam Rais berpaling semula seraya mulutnya menggumam tahmid syukur. Beberapa kelibat sedang berdatangan. Sebuah kereta antik memasuki pekarangan. Orang tua menunggang motosikal dengan dua orang anak membonceng di belakang. Sekumpulan kanak-kanak menyarung baju melayu sedang bergelak ketawa sambil meletakkan basikal mereka. Jauh di belakang sana, Imam Rais lihat beberapa orang sedang menapak di gerbang masjid. Putih cerah siluetnya, barangkali wanita memakai telekung.
Malam itu, meski pekarangan masjid tidak lagi senak dengan kereta, hatinya senang amat. Senyum terukir pada rautnya melihat wajah-wajah yang menang melawan perang ekonomi dan perang batini dalam diri.
“Ini bukan tentang kenderaan tapi tentang tahap iman kita,” suara ayahnya kedengaran mengetuk benak Imam Rais.
Benar ayah, getus hatinya. Ini bukan juga tentang minyak.
Dari kejauhan itu, berbalam di tubir mata Imam Rais dua sosok di atas sebuah basikal tua. Seorang lelaki mengayuh dan seorang kanak-kanak membonceng. Rangkulan kanak-kanak pada tubuh lelaki itu ketat. Seketat pesanan yang terus terikat pada benak Imam Rais sehingga usianya tua. Senyumnya melebar. -UTUSAN









