PETALING JAYA: Penurunan pengeluaran getah asli negara adalah berpunca daripada kenaikan kos input serta harga jualan getah yang tidak memberangsangkan.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM), Adzmi Hassan berkata, walaupun pekebun kecil masih menerima bantuan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), margin keuntungan yang rendah menyebabkan mereka kurang berminat untuk menoreh kerana pulangan tidak berbaloi.
Adzmi berkata, harga getah ketika ini masih rendah iaitu sekitar RM2.80 hingga RM3.50 sekilogram walaupun pekebun kecil dibebani kos operasi yang semakin meningkat.
Katanya, harga getah yang rendah dan kos input yang tinggi memaksa pekebun kecil membuat pilihan sukar sama ada untuk membaja tanaman atau menggunakan pendapatan sedia ada bagi menampung keperluan harian keluarga.
“Bila harga getah rendah tetapi kos input meningkat, pekebun tiada pilihan. Jika tidak membaja, hasil akan merosot, tetapi jika menggunakan wang untuk baja, perbelanjaan keluarga pula terjejas.
“Lebih memburukkan keadaan, pekebun kecil terpaksa berpuas hati dengan harga yang rendah walaupun mereka berdepan peningkatan kos input berikutan kenaikan kos logistik sehingga 30 peratus,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jabatan Perangkaan baru-baru ini melaporkan pengeluaran getah asli menurun 24.1 peratus kepada 21,705 tan metrik pada Februari 2026 berbanding 28,579 tan metrik pada Januari lalu.
Adzmi berkata, kebanyakan penoreh terdiri daripada warga emas memandangkan golongan muda tidak berminat untuk menceburi sektor tersebut.
“Kebanyakan pekebun kecil sudah berusia. Bila harga rendah, siapa yang mahu keluar menoreh? malah kerja menoreh juga dilihat tidak lagi berbaloi.
“Berbeza dengan kelapa sawit, harganya masih meningkat walaupun produktiviti menurun mengikut musim, jadi kesannya tidak begitu dirasai.
“Namun bagi getah, harga input tidak akan turun. Inilah dilema pekebun kecil apabila pendapatan mereka semakin berkurang hari demi hari,” katanya.
Mengenai cadangan penukaran tanaman getah kepada kelapa sawit, Adzmi berkata, pekebun yang ingin berbuat demikian berdepan pelbagai kekangan dari segi kos.
Menurutnya, tempoh matang tanaman sawit yang mengambil masa antara lima hingga enam tahun sebelum boleh dituai turut menjadi faktor yang mengekang minat pekebun untuk bertukar tanaman.-UTUSAN.











