Setia temani datuk hidap kanser, nenek lanjut usia

Setia temani datuk hidap kanser, nenek lanjut usia

NURLIYANA Nadeera Mohamad Khairi (tengah) kelihatan ceria menemani Draman Mamat (kiri) dan Noriah Majid di Balok Pantai, Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHEIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Di saat kebanyakan kanak-kanak seusianya riang bermain, Nurliyana Nadeera Mohamad Khairi, 6, dari Balok Pantai, di sini setia di sisi datuk dan neneknya yang uzur ketika ahli keluarga lain keluar bekerja.

Kanak-kanak itu meluangkan hampir seluruh masanya di kedai jahit yang dijadikan rumah selepas pulang dari sekolah bagi menemani datuknya, Draman Mamat, 76, yang sedang bertarung dengan kanser usus dan neneknya, Noriah Majid, 73, yang semakin dimamah usia.

Draman yang sebelum ini mencari rezeki sebagai tukang jahit sejak lebih 30 tahun lalu, tidak lagi mampu meneruskan pekerjaan itu selepas menghidap penyakit berkenaan pada Oktober tahun lalu.

Seorang lagi cucunya yang tinggal berdekatan, Nur Ain Natasya Zaid, 22, berkata, datuk­nya itu mula menjahit seawal usia 19 tahun dan menjadikan kemahiran tersebut sebagai sumber pendapatan utama keluarga.

“Dia mula sedar sakit itu apabila mengalami kesukaran untuk membuang air besar sebelum disahkan menghidap kans­er usus tahap empat.

“Sebahagian daripada kanser itu telah dibuang melalui pembedahan, kini dia sedang menjalani rawatan kemoterapi kali kedua selepas penyakit itu didapati merebak ke bahagian lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu, katanya, kehadiran Nurliyana Nadeera se­dikit-sebanyak menceriakan ha­ri-hari mereka malah kanak-ka­nak itu dilihat cepat matang dan memahami kesusahan dihadapi keluarga.

“Walaupun masih kecil, Nur­liyana Nadeera bijak mengu­rus­kan datuk dan nenek.

“Kalau ada panggilan, dia jawab dan sampaikan kepada kami.

“Dia jarang merungut walaupun tidak dapat bermain seperti kanak-kanak lain, sebaliknya lebih selesa menghabiskan masa menemani datuk dan neneknya,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0699541100100556 atas nama Draman Mamat.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×