Penawaran hampir 20 perkhidmatan percuma kepada pelanggan menjadi antara tarikan utama bagi mereka yang berkunjung ke ST Rosyam Mart.
Kemudahan tersebut bukan sahaja memberi nilai tambah yang jarang ditawarkan oleh pasar raya lain, malah mencerminkan usaha pasar borong itu dalam meningkatkan keselesaan pelanggan ketika membeli-belah.
Ia sekali gus membawa kepada pengiktirafan Rosyam Mart sebagai rangkaian pasar borong 24 jam paling pesat berkembang bagi tahun 2025 oleh Asia Record.
Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Raymond Ho berkata, kejayaan itu didorong oleh komitmen syarikat dalam menyediakan perkhidmatan s24 jam serta penawaran produk yang pelbagai pada harga berpatutan.
“Pengiktirafan ini melambangkan perkembangan dan komitmen kami dalam melayani pelanggan tanpa mengira masa,” katanya baru-baru ini.
Terbaharu, ST Rosyam Mart membuka cawangan di Jakel Square pada Disember lalu yang menawarkan pelbagai barangan segar termasuk sayur dan buah.
Syarikat di bawah Sri Ternak itu turut merancang peluasan ke Melaka, Johor serta kawasan Pantai Timur dan Pantai Barat.
Dalam masa sama, Raymond berkata, matlamat utamanya adalah untuk membantu orang ramai serta perniagaan menjimatkan masa dan kos, di samping menyediakan keperluan harian halal yang dipercayai.











