SHAH ALAM: Lebih 200,000 penjawat awam akan melaksanakan arahan bekerja dari rumah (BDR) bermula hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, kelulusan untuk pelaksanaan BDR bagaimanapun tertakluk kepada kelayakan dan kelulusan daripada ketua jabatan masing-masing berdasarkan faktor keperluan dan kesesuaian tugas.
“Tetapi bukan semua dapat, kita akan tengok. Ia ada beberapa faktor yang kita akan pertimbangkan sebab kelulusan untuk BDR adalah di bawah ketua-ketua jabatan,” katanya.
Beliau ditemui pada Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam 2026 di sini semalam.
Sementara itu, Shamsul Azri ketika berucap menjelaskan, pelaksanaan BDR adalah langkah strategik kerajaan dalam menangani kesan akibat peperangan dan ketidakstabilan yang berlaku di Asia Barat.
“Sudah hampir dua bulan, dunia kini sedang berhadapan dengan krisis tenaga global dan tekanan ekonomi yang semakin kritikal berikutan konflik yang masih belum menunjukkan tanda-tanda ia akan berakhir.
“Harga minyak mentah Brent hari ini adalah AS$101.9 setong dan ia hampir berganda peningkatannya berbanding harga normal dalam lingkungan AS$50 hingga AS$60 setong sebelum ini.
“Hal itu memberi tekanan besar kepada subsidi petroleum yang kerajaan berikan untuk rakyat yang melonjak daripada RM700 juta pada situasi biasa kepada RM2.9 bilion pada bulan lalu dan kepada RM6 bilion sebulan pada masa kini,” katanya.
Kata Shamsul Azri, penyampaian perkhidmatan awam ketika pelaksanaan BDR tidak terjejas atau tertangguh serta melambatkan program-program yang telah dijadualkan.
“Yang diminta adalah melakukan semakan semula program agar ia bersesuaian dengan dasar penjimatan sekarang. Bukannya membatal atau menangguhkan program sekiranya ia benar-benar perlu.
“Pelaksanaan BDR sebagai langkah kesiapsiagaan mendepani krisis tenaga. Maka saya minta semua ketua setiausaha dan ketua jabatan memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas. Kita mahu BDR yang produktif dengan output dan outcome pekerjaan sama seperti biasa atau mungkin lebih baik,” katanya lagi.
Beliau juga menyatakan keyakinan penjawat awam akan terus melaksanakan tanggungjawab penuh integriti sepanjang tempoh BDR.
“Kerajaan meluluskan dasar BDR bermula esok tetapi saya yakin penjawat awam tidak baring, duduk dan rehat serta tidak membeli-belah di pasar raya,” katanya.
Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan dasar BDR membabitkan kementerian, agensi, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bermula hari ini susulan krisis tenaga global sebagai usaha penjimatan kos.
Pelaksanaan BDR selama tiga hari seminggu itu hanya terpakai kepada penjawat awam di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor dan semua ibu negeri yang tinggal dalam jarak lebih lapan kilometer dari pejabat.
Malahan dasar itu juga tidak melibatkan penjawat awam dalam sektor keselamatan dan pertahanan serta kesihatan dan pendidikan.-UTUSAN.










