ZTE Corporation, CIMB Bank perkukuh pembangunan infrastruktur digital di ASEAN

ZTE Corporation, CIMB Bank perkukuh pembangunan infrastruktur digital di ASEAN

STEVEN Ge (dari kiri) bersama Kevin Xiao, Freddy Ong dan Denise Wong pada majlis menandatangani MoU bagi memajukan pembangunan infrastruktur digital di seluruh ASEAN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: ZTE Corporation, penyedia global dalam penyelesaian teknologi maklumat dan komunikasi bersepadu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan CIMB Bank Berhad bagi mewujudkan rangka kerjasama strategik untuk menyokong pembangunan infrastruktur digital di seluruh ASEAN.

Kerjasama ini memanfaatkan keupayaan telekomunikasi ZTE serta kepimpinan CIMB dalam pembiayaan dan penyelesaian perbankan bagi meneroka peluang yang menyokong pelaksanaan projek infrastruktur digital generasi baharu ZTE secara lebih efisien, khususnya rangkaian 5G.

Menurut kenyataanya bersamanya, di bawah MoU tersebut, kedua-dua pihak turut meneroka kerjasama dalam bidang pembiayaan infrastruktur, pengembangan rangkaian serantau serta pengurusan mudah tunai rentas sempadan.

Jelasnya, dengan menggabungkan kepakaran teknikal dan penyelesaian perbankan strategik, kerjasama ini bertujuan membina ekosistem digital yang lebih menyeluruh di ASEAN, melibatkan operator, agensi kerajaan, pengawal selia dan pelabur bagi memacu transformasi digital serantau yang lebih luas.

“Kerjasama ini dijangka mempercepat pelaksanaan rangkaian sambungan berkelajuan tinggi di ASEAN, khususnya di kawasan luar bandar dan kurang mendapat liputan, sekali gus membantu merapatkan jurang digital bandar-luar bandar.

“Selain menyokong pembangunan rangkaian 5G, kerjasama ini turut akan memudahkan pelaksanaan infrastruktur digital yang lebih luas selaras dengan rangka kerja serantau seperti ASEAN Digital Economy Framework Agreement (DEFA),” katanya.

Naib Presiden ZTE Corporation merangkap Pengarah Urusan ZTE Malaysia, Steven Ge berkata, kerjasama ini mencerminkan komitmen bersama dalam memajukan infrastruktur digital ASEAN serta mempercepatkan pelaksanaan rangkaian 5G.

“Dengan menggabungkan kepimpinan teknologi ZTE bersama platform kewangan serantau CIMB yang kukuh, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong perjalanan transformasi digital rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Borong Kumpulan CIMB, Chu Kok Wei berkata, kerjasama ini meletakkan CIMB dalam kedudukan untuk menyokong pengembangan serantau ZTE melalui penyelesaian pembiayaan dan perbankan bersepadu.

Katanya, ini sejajar dengan peningkatan permintaan terhadap sambungan generasi baharu dan infrastruktur digital di seluruh ASEAN.

“Dengan memanfaatkan kehadiran CIMB di ASEAN, kami berhasrat untuk membolehkan pelaksanaan yang lebih efisien sambil memperkukuh hubungan pelanggan melalui rangkaian keupayaan yang lebih luas,” jelasnya.

MoU itu dimeterai di Kuala Lumpur dan disaksikan oleh wakil kedua-dua syarikat, melibatkan Pengurus Besar Pusat Perbendaharaan dan Pembiayaan ZTE, Kevin Xiao serta Ketua Serantau, Liputan Perbankan Korporat dan Pelaburan CIMB. Freddy Ong, dengan kehadiran Steven dari ZTE dan Ketua Korporat dan Sektor Awam CIMB, Denise Wong. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×