Lubnan janji henti perang Israel-Hizbollah - Utusan Malaysia

Lubnan janji henti perang Israel-Hizbollah

SEORANG wanita membersihkan sisa runtuhan dari rumahnya yang rosak akibat serangan Israel yang menyasarkan kampung Al-Bazouriyah di selatan Lubnan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam memaklumkan pihaknya sedang berusaha menghentikan perang antara Israel dan Hizbollah serta memastikan pengunduran tentera rejim Zionis di negara itu.

Pengumuman itu dibuat susulan lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke kawasan selatan Lubnan.

“Kami akan terus berusaha untuk menghentikan perang ini, memastikan pengunduran Israel dari semua wilayah kami dan memulangkan semua tahanan.

“Kami juga akan membina semula kampung dan bandar yang musnah serta memastikan kepulangan selamat penduduk yang dipindahkan,” kata Salam dalam satu ucapan sempena ulang tahun bermulanya perang saudara Lubnan 1975-1990.

Menurut beliau, usaha rundingan sedang diteruskan untuk menamatkan konflik tersebut, menjelang perbincangan yang dijadualkan berlangsung di Washington pada Selasa antara pegawai Lubnan, Israel dan Amerika Syarikat (AS).

Sementara itu, Netanyahu mendakwa tentera Israel telah berjaya mengekang ancaman pencerobohan oleh Hizbollah semasa lawatannya ke selatan Lubnan.

“Perang ini masih berterusan, termasuk di dalam zon keselamatan di Lubnan,” kata Netanyahu dalam satu video yang dikeluarkan pejabatnya, yang menunjukkan beliau memakai jaket kalis peluru dan dikelilingi anggota tentera bertopeng.

Beliau berkata, operasi darat di selatan Lubnan membantu mengawal ancaman serangan roket oleh Hizbollah ke atas komuniti di utara Israel dan menambah tentera Israel juga sedang berdepan dengan Hamas di kawasan tersebut.

“Masih banyak yang perlu dilakukan dan kami sedang melakukannya,” katanya.

Menurut Pemerintah Bahagian Dalam Negeri Israel, sekurang-kurangnya 10 serangan roket dari Lubnan ke Israel direkodkan pada Ahad, namun tiada laporan kemalangan jiwa.

Lubnan terheret ke dalam konflik Asia Barat apabila Hizbollah yang disokong Teheran melancarkan roket ke arah Israel beberapa hari selepas serangan AS-Israel membunuh pemimpin tertinggi Iran pada 28 Februari lalu.

Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan besar-besaran serta operasi darat di selatan Lubnan.

Pada Sabtu, Netanyahu turut menyatakan Israel mahukan pelucutan senjata Hizbollah dan satu perjanjian damai sebenar yang mampu bertahan untuk generasi akan datang. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN