PETALING JAYA: Penjual wanita menjana RM4.3 bilion nilai dagangan kasar (GMV) di platform Shopee setakat tahun ini, meningkat daripada RM2.8 bilion pada 2023, sekali gus mencerminkan peranan aktif dalam memacu perdagangan digital.
Seiring itu, Shopee Malaysia membawa program ‘Wanita Go Digital bersama Shopee’ ke Pulau Pinang menerusi Jelajah Komuniti 2026.
Ia dalam usaha memperkasa usahawan wanita melalui inisiatif berasaskan komuniti yang menawarkan pembelajaran praktikal serta laluan mudah menyertai ekonomi digital sebagai penjual dan affiliate.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, inisiatif berkenaan membuka lebih banyak peluang kepada wanita meningkatkan pendapatan.
“Ia termasuk suri rumah, ibu tunggal dan usahawan kecil untuk memulakan perniagaan dari rumah dengan kos lebih rendah.
“Ini sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah dan kualiti hidup,” katanya dalam kenyataan.
Dalam program itu, Shopee turut menyampaikan Anugerah Aspirasi Wanita Shopee bagi mengiktiraf usahawan wanita yang cemerlang membina dan mengembangkan perniagaan melalui saluran digital.
Penerima anugerah tahun ini ialah Pengasas Dashboxx, Nur Shafiqa Mohtar dan Adra Efftissa.
Sementara itu, Ketua Hal Ehwal Korporat Shopee Malaysia, Nadia Anwar berkata, wanita kini memainkan peranan penting dalam membina dan mengembangkan perniagaan di platform berkenaan, sama ada sebagai penjual atau affiliatte.
“Melalui program seperti ini, akses kepada panduan praktikal dan perkongsian pengalaman membantu mereka melangkah dengan lebih jelas dan yakin.
“Ia sekali gus membuka lebih banyak peluang dalam ekonomi digital,” katanya.
Di luar program tersebut, Shopee terus menyokong usahawan wanita melalui ekosistem menyeluruh yang merangkumi pelbagai alat, sumber dan kerjasama strategik.
Inisiatif seperti Shopee Mum’s Club menyediakan kandungan terpilih, baucar serta sokongan harian bagi membantu wanita mengurus keperluan harian sambil menjalankan perniagaan.
Kerjasama seperti Pek Kasih Mama yang dilancarkan bersama Kementerian Kesihatan pada 2024 turut meningkatkan akses kepada sokongan penting bagi ibu dan anak, sekali gus mengurangkan halangan penyertaan.
Selain itu, kempen platform seperti Jualan Hari Wanita 3.8 pada Mac 2026 membantu meningkatkan keterlihatan jenama milik wanita serta memperluas capaian pelanggan.
Melalui usaha berterusan ini, Shopee komited bekerjasama dengan komuniti tempatan bagi memperluas akses kepada pembelajaran praktikal, alat digital dan perkongsian pengalaman. – UTUSAN









