September 2027:
Pokok seperti berbaris tanpa pakaian. Rimbunan hijau daun getah tidak lagi wujud. Jika ada pun, daun bertukar kuning dan menanti tarikan graviti, jatuh ke tanah bertindih satu sama lain. Di kanvas langit, awan senipis kulit bawang. Tidak lagi segempal buah sukun. Entah bila kali terakhir ia bunting benih-benih dan melahirkan hujan di tanah gersang ini. Seolah-olah sudah lama dimandulkan.
Petak-petak sawah seperti tumit petani; kering dan merekah. Selut sudah lama garing dibakar terik mentari. Tali air cuma membuai becak-becak dan lumpur. Tiada lagi air membias wajah awan dan rimbun pokok.
Di daerah ini, kemarau seperti membenci setiap inci tanah dan seumpama dengannya. Air sungai seperti menyorok dan enggan berkawan dengan makhluk di daerah ini. Seorang lelaki lewat 30-an tunduk memandang rekah di petak sawah.
Februari 2023:
“Kau jangan hendak takut-takutkan orang kampung, Azuar. Takkanlah sampai begitu kesannya.” Dahi Ujang beralun seperti gulungan ombak. Dia masih tidak percaya kata-kata yang terpacul dari mulut Azuar. Baginya semua itu cuma satu rekaan semata-mata.
Hijau sawah terbentang di depan dua pemuda dari Kampung Belimbing Luar. Sudah dua bulan padi ditanam. Sememangnya kampung ini terkenal dengan hasil padi sejak dari dulu. Saban tahun padi dituai dengan baik dan banyak. Salah satu faktor datangnya dari air sungai yang bersih dan tali air yang terancang.
Tujuh puluh peratus penduduk Kampung Belimbing Luar mengusahakan tanaman padi. Ada juga sudah berjaya sehingga memiliki jentera dan kilang pemprosesan padi sendiri. Selebihnya penduduk kampung memiliki kebun getah sebagai mata pencarian rezeki.
Angin bergulung di rambut panjang Azuar, anak muda yang sedang mengikuti pengajian pengurusan ekologi di salah satu universiti di ibu kota. Tubuhnya tinggi lampai, berkulit sawo matang, punya lesung pipi kecil di sebelah kanan wajah Melayu itu.
“Betul bang Ujang. Ini yang saya dan pensyarah sedang kaji di kolej. Kesan pembangunan itu sangat dahsyat,” ujar Azuar.
Ujang yang tadi duduk bersandar di bangku kayu di sudut pondok, tiba-tiba bangun. Kelopak matanya mengecil, melempar pandangan pada petak-petak sawah yang diusahakan dari umurnya belasan tahun.
Dia dan Azuar merupakan generasi ke-tiga. Pewaris petak-petak sawah ini daripada atok dan ayahnya yang terlebih dahulu menabur bakti pada tanah ini.
“Tapi projek ini kan bagus untuk masyarakat kampung. Pihak berwajib sudah memberi jaminan peluang pekerjaan bakal tercipta untuk penduduk di sini,” jawab Ujang.
Pemaju dan wakil kerajaan telah turun mengadakan perbincangan dengan penduduk Kampung Belimbing Luar.
Kawasan Perindustrian Belimbing betul-betul bersebelahan kawasan kampung. Hanya dipisahkan dengan kebun getah di sebelah utara dan sawah padi di sebelah timur. Itu sahaja zon penampan yang masih tinggal.
Kata pemaju, kompleks pusat data ini tidak akan mendatangkan pencemaran. Ia cuma terdiri daripada peralatan elektronik untuk menyimpan data di dalam talian. Bukan seperti kilang bahan kimia yang ada cecair atau gas berbahaya.
Seharusnya penduduk tidak perlu risau dengan pengoperasian pusat data itu nanti.
“Peluang pekerjaan itu ada, tetapi terlalu sedikit bang Ujang,” Azuar membantah.
“Mereka tidak memberikan butiran fakta yang tepat. Kebanyakkan pusat data tidak menyediakan pekerjaan yang banyak pada masyarakat setempat.
“Sebagai contoh, ada sebuah syarikat media sosial terkenal pernah menjanjikan peluang pekerjaan sebanyak 30,000 apabila pusat data siap dibina tetapi akhirnya hanya 56 tempat kosong ditawarkan kepada orang ramai. Itu pun tidak semuanya diisi oleh penduduk setempat.
“Ini benar-benar terjadi di negara Eropah. Tidak mustahil bakal terjadi di sini juga bang Ujang.” Kali ini Azuar seperti melepaskan peluru tabur dari mulutnya ke arah Ujang.
Niatnya cuma satu, menyampaikan maklumat yang sahih berdasarkan pengajian dan data yang dia miliki.
“Ke kau dengki ni azuar?” Soal ujang bernada tinggi.
Angin tidak lagi mesra. Tiba-tiba menghilang bersama soalan yang terbang dari mulut Ujang. Terik mentari mula menggigit kulit Ujang.
“Tidak mungkin saya cemburu bang Ujang. Saya juga impikan peluang pekerjaan yang dekat dengan kampung. Tidak perlu saya merantau ke ibu kota.” Azuar memandang tanah di tepi batas yang mengelilingi petak sawah. Nada perlahan bercampur kecewa membalas persoalan Ujang.
“Sudahlah Azuar, aku dan orang kampung tetap akan menyokong projek pembangunan tu, kau jangan nak menyibuk nak membantah pula.” Dengusan kuat dari Ujang menandakan kemarahan sudah memuncak.
Ujang terus turun ke petak sawah. Kakinya sudah sebati dengan lumpur, hijau padi, pacat dan segala aroma dari emas bertangkai ini. Tempat dia bergelumang dengan kehidupan setelah tamat persekolahan.
Januari 2023:
Suasana di bilik kuliah seperti kuburan. Senyap. Prof. Naim baru sahaja selesai menyampaikan kuliah untuk subjek Etika Alam Sekitar.
Di atas meja, terdapat dua buah buku yang berkaitan. Buku berwarna kuning adalah Akta Alam Sekeliling 1974. Sebuah lagi merupakan novel alam sekitar (ecofiction) bertajuk The Overstory tulisan Richard Powers, merupakan pemenang hadiah Pulitzer Price for Fiction 2019.
“Ada soalan?” Tanya lelaki berkaca mata separuh abad itu pada mahasiswa di dalam dewan kuliah.
Pada mulanya sepi. Tiada seorang pun memberi tindak balas kepada soalan itu. Selang beberapa detik, pelajar lelaki berkemeja petak-petak merah hitam mengangkat tangan tanda punya soalan yang bakal dilontar di tengah-tengah dewan kuliah.
“Prof, adakah benar kompleks pusat data bakal meningkat penggunaan air bersih yang banyak?” Soal Azuar.
“Azuar, dapatan kajian dari sebuah institut, menyatakan sebuah pusat data berkapasiti 100 MW memerlukan 1.5-bilion-liter air bersih untuk proses penyejukan. Dan air ini akan hilang di udara di dalam proses penyejatan. Itu hakikat di mata kasar. Yang tersirat, penggunaan air bersih ini akan mengganggu rutin harian penggunaan air oleh manusia.
“Bagaimana itu Prof?” Sambut Azuar dengan satu lagi persoalan.
“Begini, semakin kuat penggunaan sistem pusat data, semakin panas peralatan elektronik yang bekerja untuk memproses dan menyimpan data. Semakin banyak air bersih diperlukan untuk menyejukkan semua peralatan elektronik supata tidak rosak dan kekal berfungsi. Ingat! Air ini tidak mengalir semula ke sungai. Ia hilang di udara.”
“Apa akan jadi pada pengguna air domestik seperti di rumah atau kebun, ladang dan sawah yang memerlukan air untuk kegiatan pertanian mereka. Silap urus boleh terjadi krisis air yang amat dahsyat,” terang Prof. Naim panjang lebar.
Maksudnya, projek pusat data mendatangkan kemudaratan dan kita perlu membantah projek-projek ini?
“Kita mengalu-alukan pembangunan. Tetapi perlulah diusahakan dengan lestari. Tidak mendatangkan pencemaran atau mudarat kepada manusia dan alam sekitar. Itu pentingnya etika dalam pengurusan alam sekitar.
“Manusia punya kasih sayang dan hubungan yang erat pada alam sekitar. Etika ini membezakan kita dan robot. Perasaan dan jiwa menjadikan kita lebih manusiawi. Ini penting. Dan setiap manusia perlu ada ini dalam pemikirannya.
“Sebagai contohnya, dengan penggunaan teknologi yang mesra alam dan kitar semula tenaga, ia boleh menjimatkan penggunaan air dan tenaga dalam operasi pusat data seperti teknologi chip level liquid cooling atau seawater cooling. Ada juga yang menggunapakai semula air kumbahan dan air sisa industri sebagai agen penyejuk di data center.
“Langkah ini juga patut dipuji. Air sisa terawat diguna pakai semula. Sekurang-kurangnya ia tidak menjadi sisa yang sia-sia.”
Prof. Naim tersenyum. Puas dengan penerangannya pada Azuar dan mahasiswa lain.
Jun 2023:
“Jangan azuar. syarikat itu sudah banyak bantu penduduk kampung. Macam-macam aktiviti CSR mereka buat. Kau jangan hendak jadi hero. Tiba-tiba saja heboh dengan isu air pula. Belajar pun tak habis lagi. Hendak berlagak pandai.” Ujang meninggikan suara pada adik sepupunya.
“Tapi bang Ujang, nasib sawah padi bang Ujang dalam bahaya. Silap urus habis mati semua padi tu. Air sungai bakal disedut banyak. Silap-silap kering kontang dibuatnya.
“Saya hendak jumpa wakil syarikat. Saya mahu minta jaminan daripada mereka. Jika tidak, saya akan adakan bantahan. Ini demi masa depan penduduk kampung. Jangan tertipu lagi dengan perangai tamak kapitalis”. Azuar tekad.
Azuar!!!
Pang!!!
Satu hayunan tapak tangan hinggap ke pipi azuar. Tubuh kurus kering itu tersandar di tangga kayu rumah arwah nenek yang betul-betul menghadap petak sawah.
“Kau jangan mengada-ngada. Kalau aku dapat tahu kau pergi jumpa wakil syarikat itu. Mati kau aku kerjakan.” Amaran keluar marak seperti api dari mulut Ujang. Wajahnya kemerah-merahan.
Ujang tidak lagi memihak kepada adik sepupunya Azuar. Kini dia berdiri dan menyokong penuh syarikat itu. Sudah tiga bulan Ujang menerima bantuan bakul makanan dan sedikit wang saku yang diberikan oleh wakil syarikat.
Tugasnya mudah, menyokong projek pusat data dan menghebohkan kebaikanya pada penduduk. Sesiapa yang membantah, Ujang akan uruskan sepertimana dia menguruskan Azuar.
Darah menitik dari mulut Azuar yang ternganga seperti gua tidak berpintu. Mungkin sebatang dua giginya gugur ke tanah. Juga sekotak rokok tercampak dari poket bajunya.
Mata anak muda memandang tepat pada kotak rokok itu dan membias segala isi hatinya. Ia bukan tentang diri sendiri. Ia tentang masa depan.
“Kau pun sama Azuar, dua kali lima. Lupakankah segala niat kau hendak jaga alam sekitar atau masa depan. Cermin diri sendiri dahulu.”
Suasana makin membahang. Hujan tidak lagi merindui sawah dan pokok getah. Pemaju pusat data tidak pernah peduli tentang sawah, getah dan paras air sungai.
Tentang Azuar?
Jauh sekali. –UTUSAN










