Nikmati hidangan nasi kandar Nur Bandar Pusat Jengka

Nikmati nasi kandar Nur Bandar Pusat Jengka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBIASAANNYA nasi kandar di Pulau Pinang merupakan jenama yang tipikal serta sinonim dengan penggemar di kawasan utara Semenanjung, tetapi bagi pemilik kedai Nasi Kandar Nur yang terletak di B1 Anjung Selera Bandar Pusat Jengka, Maran juga menjual makanan yang sama dengan rasa menu tersendiri.

Malahan makanan itu sudah dikenali dalam kalangan peneroka di Felda Wilayah Jengka dan penduduk bandar itu yang juga berasal dari utara Semenanjung dan juga penggemar kelazatan nasi kandar.

Pemilik Nasi Kandar Nur, iaitu pasangan suami isteri, Khairun Nisa Zamri, 35, dan suaminya, Nur Luqman Mansor, 38, mempunyai resipi tersendiri untuk membuka selera pelanggan, tetapi masih mengekalkan aura nasi kandar dengan campuran pelbagai rempah ratus.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Nur Luqman berkata, dia dan isterinya menjual nasi kandar sejak enam tahun lalu memandangkan makanan itu ada penggemarnya terutama kalangan peneroka kawasan Wilayah Jengka yang berasal dari pantai Barat dan Utara Semenanjung termasuk pengunjung luar yang singgah di situ.

“Sebenarnya, resipi nasi kandar ini saya peroleh ketika bekerja sebagai pembantu kedai milik saudara yang berniaga di Ipoh selepas tamat sekolah menengah di sini.

“Saya cuma mengambil masa setahun untuk menguasai kemahiran memasak dengan campuran pelbagai rempah ratus menyediakan gulai benar-benar ‘aura’ nasi kandar seperti yang dijual oleh kebanyakan mamak di Pulau Pinang dan tempat lain,” katanya di Bandar Pusat Jengka baru-baru ini.

Menurut Nur Luqman, setelah mahir dan mampu menyediakan menu nasi kandar, dia pula diberi tanggungjawab oleh saudaranya sebagai tukang masak selama beberapa tahun dan kemudiannya, kembali ke kampung, iaitu sebuah tanah rancangan Felda berdekatan Bandar Pusat Jengka.

 

Katanya, dia mula mencongak mencari tempat atau kedai untuk menjual nasi kandar kerana tidak mahu mensia-siakan kemahiran memasak yang sudah dipelajari semasa bekerja di Ipoh di samping peluang untuk menambah pendapatan setelah berumahtangga dengan isterinya, Khairun Nisa Zamri.

“Saya bersyukur kerana isteri juga suka memasak dan menyokong hasrat menjual makanan ini malahan bersungguh-sungguh untuk mempelajari menu nasi kandar.

“Dalam tempoh singkat, dia sudah mahir menyediakan rempah, memasak gulai (kari) termasuk bahan campuran seperti ikan, ayam udang, ketam, telur, daging dan sebagai­mya,” katanya.

Kata­nya, rasa dan aroma menu Nasi Kandar Nur berorien­tasikan rempah, tidak masin dan tidak terlalu kering serta kombinasi dengan kacang bendi, kobis goreng dan sayuran lain sesuai untuk dimakan semua peringkat usia sebagai juadah tengah hari.

“Pada mulanya perniagaan kami agak perlahan dan kurang pelanggan sekali gus terpaksa mengurangkan masakan bimbang tidak habis dijual, tetapi berkat kesabaran lama kelamaan Nasi Kandar Nur dikenali pelanggan sekitar Wilayah Jengka.

“Kami mula berniaga pada pukul 10 pagi dan jualan nasi kandar ini beroperasi enam hari seminggu kecuali hari Ahad,” katanya.
Nur Luqman berkata, antara menu nasi kandar di kedainya, iaitu satu set ayam goreng dijual dengan harga RM7, Ayam Vanggey (RM8), Ayam Bawang (RM8), Daging Lembu/Kerbau (RM8), Kambing (RM12), telur dan Sotong (RM8) dan ikan (RM10)

Katanya, menu ayam bawang dan daging kambing antara set makanan nasi kandar yang mendapat perhatian pelanggan kerana rasa gulai (kari) berempah ‘ori’ dan sekali sekala ayam kampung juga dimasak dan dijual kerana ada penggemar yang kerap bertanya.

“Kita melengkapi jualan nasi kandar ini dengan campuran pelbagai gulai (kari) atau sekurang-kurangnya tiga atau empat jenis kuah seperti gulai ikan, gulai daging, gulai kambing, gulai sotong, kuah masak kicap dan gulai kurma daging.

“Pelanggan mempunyai pilihan sendiri untuk menikmati nasi kandar ini dengan harga berpatutan dan kami sudah mencongak jualan ini mengikut kemampuan berbelanja berasaskan pendapatan golongan peneroka dan kaki tangan awam di Bandar Pusat Jengka,” katanya.

Sementara itu, Khairun Nisa berkata, kesemua menu nasi kandar dimasak di rumah bermula pukul 7 pagi dan dibawa ke kedai pada pukul 10 pagi setiap hari jualan beroperasi.

“Kebanyakan pelanggan sudah memenuhi kedai kami mulai pukul 11 pagi dan sehingga menjelang pukul 2 petang sehingga semua menu habis dijual,” katanya.

Dia berkata, Nasi Kandar Nur juga setiap hari ditempah oleh pelanggan menerusi pengusaha perkhidmatan penghantaran dan bersedia membekalkan nasi kandar kepada pertubuhan, keluarga atau pihak tertentu yang menganjurkan majlis jamuan.

Orang ramai sekitar Wilayah Jengka dan Maran yang ingin menikmati pelbagai menu Nasi Kandar Nur bolehlah datang ke kedai Anjung Selera Bandar Pusat Jengka atau tempahan untuk penghantaran menerusi talian 019-9905729 (Khairun Nisa) dan 019-9303765 (Nur Luqman). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×