Israel dakwa lancar lebih 10,800 serangan udara ke Iran - Utusan Malaysia

Israel dakwa lancar lebih 10,800 serangan udara ke Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Tentera Israel mendakwa melancarkan lebih 10,800 serangan udara ke atas Iran sepanjang konflik selama kira-kira 40 hari yang bermula akhir Februari bersama Amerika Syarikat (AS).

Menurut kenyataan tentera, operasi itu melibatkan serangan terhadap 4,000 sasaran strategik dan 6,700 tapak ketenteraan di Iran, dengan puluhan jet pejuang beroperasi serentak sepanjang kempen tersebut.

Israel turut mendakwa menggunakan lebih 18,000 unit senjata dalam serangan berkenaan, hampir lima kali ganda berbanding kempen selama 12 hari terhadap Iran pada Jun tahun lalu, namun dakwaan itu tidak dapat disahkan secara bebas.

Konflik serantau semakin memuncak selepas Washington dan Tel Aviv melancarkan serangan pada 28 Februari, yang kemudian dibalas oleh Teheran dengan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel serta beberapa negara jiran.

Sebagai tindak balas, Iran turut mengehadkan pergerakan kapal melalui Selat Hormuz, laluan penting bagi perdagangan tenaga global.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakistan bersama Türkiye, China, Arab Saudi dan Mesir berjaya memudah cara gencatan senjata selama dua minggu antara Washington dan Tehran pada Rabu, kira-kira 40 hari selepas perang tercetus.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk mengadakan rundingan di Islamabad bagi mencapai penyelesaian damai jangka panjang.- ANADOLU

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×