LONDON: Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, menegaskan ‘muak’ dengan kesan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, di Asia Barat yang memberi impak kepada rakyat Britain, selain menyamakan pemimpin itu dengan Presiden Russia, Vladimir Putin.
Dalam temu bual bersama ITV pada Khamis, Starmer berkata, ketidakstabilan global akibat tindakan pemimpin dunia menyebabkan bil tenaga rakyat dan perniagaan di Britain tidak menentu.
“Saya sudah muak dengan keadaan di mana keluarga di seluruh negara melihat bil mereka naik turun, begitu juga perniagaan, disebabkan tindakan Putin atau Trump di seluruh dunia,” katanya.
Starmer, yang sebelum ini dikritik dan ada kalanya dipersendakan oleh Trump kerana tidak menghantar tentera Britain ke dalam konflik Iran, turut dilihat mengecam Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, susulan serangan berterusan ke atas Lubnan, walaupun Iran menggesa agar Lubnan turut dimasukkan dalam gencatan senjata yang dipersetujui pada 7 April.
“Serangan itu perlu dihentikan, itu pendirian tegas saya, dan persoalannya bukanlah isu teknikal sama ada ia melanggar perjanjian atau tidak,” kata Starmer.
Starmer dan Trump berbincang pada Khamis mengenai keperluan pelan ‘praktikal’ bagi memulihkan semula pergerakan perkapalan di Selat Hormuz susulan gencatan senjata di Asia Barat.
Jurucakap Downing Street berkata, Starmer mengadakan perbualan dengan Trump dari Qatar, dengan beliau memaklumkan hasil perbincangan bersama pemimpin Teluk dan perancang ketenteraan mengenai keperluan memulihkan kebebasan pelayaran di selat berkenaan.
Menurutnya, Britain juga sedang berusaha menghimpunkan rakan antarabangsa untuk mencapai pelan yang berdaya maju.
“Mereka bersetuju bahawa dengan adanya gencatan senjata dan persetujuan untuk membuka semula selat, kini adalah peringkat seterusnya untuk mencari penyelesaian. Kedua-dua pemimpin turut membincangkan keperluan pelan praktikal bagi memastikan perkapalan dapat bergerak semula secepat mungkin,” kata jurucakap itu.
Dalam temu bual bersama ITV, Starmer turut menegaskan walaupun Britain tidak mempunyai akses penuh kepada semua butiran gencatan senjata, beliau tetap tidak bersetuju dengan serangan ke atas Lubnan.
“Biar saya jelaskan, serangan itu adalah salah,” katanya.
Starmer berkata, beliau mahu menjadikan negara itu sebagai negara di mana rakyat tidak terdedah kepada kesan peristiwa di luar, menurut tulisannya dalam akhbar The Guardian pada Khamis.
Beliau mengakui tindak balas kerajaan terdahulu terhadap krisis global sering sekadar mengurus krisis, mencari penyelesaian sementara dan kemudian cuba mengembalikan keadaan seperti sedia ada, namun berjanji pentadbirannya akan melakukan lebih baik.
“Kali ini, ia akan berbeza. Perang di Iran mesti menjadi garis penamat, kerana bagaimana kita keluar daripada krisis ini akan menentukan masa depan kita untuk satu generasi,” katanya.
Hubungan Starmer dengan sekutu Britain dilihat semakin tegang sejak perang melibatkan AS dan Israel terhadap Iran bermula pada akhir Februari.
Beliau bersama beberapa pemimpin Eropah lain juga dilaporkan berulang kali dikritik dan diperlekehkan oleh Trump, serta anggota kanan pentadbirannya.










